Malu Jadi Penganggur? Syarikat Di China Tawar Servis ‘Pura-pura Kerja’, Siap Ada Pejabat Sendiri

LocalBusiness & Finance
20 Jan 2025 • 5:15 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Memasuki alam pekerjaan bukan satu perkara mudah untuk ditempuhi. Pelbagai cabaran yang anda perlu hadap sebagai contoh perselisihan faham antara rakan sekerja, majikan yang begitu mendesak, tiada ‘work-life balance’ dan banyak lagi.

Lebih parah lagi apabila timbulnya masalah syarikat yang bertindak membuang pekerja kerana faktor-faktor tertentu sebagai contoh bankrap.

Nak cari pekerjaan lain pula agak susah yang mana rata-rata mengambil masa beberapa bulan atau pun bertahun sebelum jumpa tempat baharu.

Beberapa Syarikat Di China Tawar Perkhidmatan ‘Pura-pura Kerja’

Kalau anda nak tahu, beberapa syarikat di China kini menawarkan servis ‘pura-pura kerja’ buat penganggur yang mahu menyembunyikan status daripada ahli keluarga atau kenalan rapat bahawa mereka tidak lagi bekerja.

Perkhidmatan tersebut turut tersedia dengan ruang pejabat dan makan tengahari berjumlah 30 yuan (RM18) sehari. Waktu ‘bekerja’ di syarikat tersebut adalah dari jam 10 am hingga 5 pm.

Di wilayah Hebei sekitar utara China pula, ruang pejabat yang diiklankan disifatkan sebagai penyelesaian yang bijak buat individu yang berasa malu kerana menganggur.

image is not available
Gambar sekadar hiasan. Sumber: Pexels

Individu Boleh Berlakon Sebagai Bos Di Ruang Pejabat Disediakan

Memetik South China Morning Post, seorang lagi warganet mempromosikan perkhidmatan lebih kurang sama yang mana dia mengenakan bayaran 50 yuan (RM30) untuk klien berlakon sebagai ‘bos’.

Mereka juga menawarkan sesi bergambar sambil duduk beralaskan kerusi kulit untuk ditunjukkan kepada keluarga. Dengan cara itu, keluarga mereka akan lebih yakin dengan status pekerjaannya.

image is not available
Sumber: Pexels

“Banyak syarikat besar memberhentikan pekerja. Saya mempunyai pejabat lebih dan berpendapat ini boleh beri ruang kepada penganggur untuk tinggal dan berhubung,” kata individu tersebut bagi memasarkan servis ditawarkan.

Sementara itu, ada yang berpendapat perkhidmatan ini membantu meringankan tekanan psikologi yang dilalui para penganggur terutamanya golongan belia.

Penganggur Tidak Mahu Bebankan Keluarga

Seorang bekas pekerja e-dagang dari Hangzhou di timur China yang telah diberhentikan kerja juga ada berkongsi kisahnya berdepan dengan situasi tersebut.

Menurut lelaki dikenali sebagai Jiawei itu, dia menghabiskan hari-harinya di kedai kopi memohon pekerjaan dan menghantar resume.

“Menganggur (beri saya) tekanan, tetapi saya tidak mahu berikan (aura) negatif itu kepada keluarga saya,” katanya kepada media tempatan.

Terdahulu, seorang lelaki berusia 46 tahun dikatakan sanggup berpura-pura sedang cuti kerja selama tiga minggu sebelum ‘kembali’ ke pejabat selepas cuti tamat kerana takut isteri mengetahui tentang nasibnya yang telah dibuang kerja.

Isu Pengangguran Di China Di Tahap Kritikal

Untuk info, isu pengangguran di kalangan belia kekal menjadi kebimbangan utama di China. Pengangguran kadar kumpulan umur 16-24 tahun dilaporkan melonjak kepada 21.3% pada Jun 2023.

Hal itu menyebabkan pengeluaran data pengangguran dihentikan selama beberapa bulan dan mengecualikan kumpulan pelajar yang kemudiannya menyaksikan kadar itu menurun kepada 16.1% menjelang November 2024. 

Sembunyikan Isu Pengangguran Boleh Undang Masalah Mental

Seorang pakar pekerjaan sosial di Universiti Sains dan Teknologi Wuhan dikenali sebagai Prof Zhang Yong berkata bahawa trend ‘berpura-pura bekerja’ boleh membuatkan seseorang itu mengalami masalah kesihatan mental.

Zhang menasihatkan golongan penganggur supaya mendapatkan khidmat kaunseling profesional dan bukannya menyembunyikan kesulitan mereka.

image is not available
Gambar sekadar hiasan. Sumber: Pexels

“Masyarakat memberi banyak tekanan kepada orang ramai untuk berjaya, dan orang dewasa kadangkala meletakkan jangkaan pekerjaan terlalu tinggi.

“Berita tiba-tiba kehilangan pekerjaan kemudian boleh menyebabkan kemurungan,” kata Zhang.

Source: