'Mama...sakitnya papa' - Keluarga mangsa rempuhan pemandu mabuk nekad tuntut keadilan

LocalPolitics
30 Mar 2026 • 5:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Nor Nadia bersama anak-anaknya ketika ditemui di kediaman keluarga di Kampung Repoh, Batu Kurau pada Isnin.
image is not available
Gambar kenangan Allahyarham Amirul Hafiz bersama keluarganya.

LARUT - Keluarga Amirul Hafiz Omar, 33, mangsa kemalangan maut akibat dirempuh pemandu mabuk di Jalan Raya Barat dekat Klang, Ahad lalu nekad mahu menuntut keadilan.

Isteri mangsa, Nor Nadia Abdul Majid, 32, berkata, tindakan undang-undang akan diambil bagi menuntut pembelaan sewajarnya buat arwah suaminya serta masa depan tiga anak mereka.

"Saya akan lawan demi keadilan semua terutama anak-anak.

"Suami saya tidak bersalah. Dia bawa motosikal dan duduk di laluan yang betul, tak ada tengok telefon pun. Semua orang tengok video (kemalangan) itu, suami saya tak laju pun," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman keluarga di Kampung Repoh, Batu Kurau di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, Amirul Hafiz maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta jenis Honda City dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an datang dari arah Jalan Raya Barat menghala ke Bandar Klang dalam keadaan laju dan berbahaya.

Siasatan awal polis mendapati, pemandu berkenaan memotong beberapa kenderaan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal mangsa menyebabkan mangsa tercampak di atas kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Nor Nadia berkata, keluarganya telah dihubungi peguam yang bersedia membantu mereka dalam urusan perundangan.

Katanya, mereka kini hanya berharap proses undang-undang dapat berjalan dengan adil dan memberi pembelaan sewajarnya kepada mangsa sekali gus bagi memastikan kejadian sama tidak berulang kepada orang lain.

“Insya-ALLAH, peguam akan jumpa saya dalam masa terdekat untuk bincangkan tindakan lanjut,” katanya.

**media[3476200]**

Dalam pada itu, beliau menyifatkan hukuman sedia ada terhadap kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol masih belum memadai.

"Penjara sahaja tidak cukup. Nyawa sudah hilang. Saya hilang tempat bergantung, anak-anak hilang ayah,” katanya.

Beliau berkata, detik paling tidak dilupakan apabila anak sulungnya meluahkan rasa pilu dengan berkata 'Mama, sakitnya papa...' sebaik melihat video insiden tersebut.

"Anak-anak faham papa mereka sudah tiada, mereka ada bersama arwah sehinggalah kebumi selesai," katanya.

Tambahnya, kejadian tersebut memberi kesan besar kepada kehidupan mereka sekeluarga, apatah lagi beliau baru memulakan kerja sambilan di sebuah syarikat kurier bagi membantu ekonomi keluarga.

“Saya baru mula kerja dua bulan lalu. Sekarang semua berubah. Saya hanya fikir anak-anak, sekolah mereka dan pelajaran mereka," katanya.

Jenazah Amirul Hafiz selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Repoh, Batu Kurau sekitar jam 12 malam.

Allahyarham meninggalkan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Aqif Amsyar, 9; Muhammad Afif Izz Rayqal, 7, dan Nur Humaira, 2 tahun.