KUALA LUMPUR — Ada pemilik kenderaan mewah sanggup memiliki kereta bernilai ratusan ribu ringgit, namun masih culas menjelaskan cukai jalan dan insurans yang mencecah sehingga RM10,000.
Itu antara sikap tidak bertanggungjawab segelintir pemilik kenderaan mewah susulan tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) menyita 41 kenderaan jenis itu sejak Januari hingga pertengahan Mei ini.
Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam berkata, berdasarkan statistik terkini sehingga 18 Mei lalu, sebanyak 11 kenderaan mewah masih berada dalam tahanan pihak berkuasa, manakala 30 lagi sudah dilepaskan selepas pemiliknya menyelesaikan tunggakan serta denda.
“Antara kesalahan yang paling popular bagi kenderaan mewah ini ialah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada insurans.
“Malah, ada sesetengah kadar cukai jalan mencecah RM10,000 yang didakwa tidak mampu dibayar oleh pemilik kenderaan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Isnin.
Hamidi berkata, antara kenderaan mewah yang tersenarai dalam dokumen sitaan termasuk model berprestasi tinggi seperti Ford Mustang, Bentley Continental Flying Spur, Rolls-Royce Ghost, Porsche Cayman, Aston Martin V8 Vantage, Audi Q3 serta pelbagai varian kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) premium seperti Land Rover Defender dan Toyota Alphard.
“Penguatkuasaan yang dijalankan adalah telus tanpa mengira profil atau latar belakang pemilik, termasuk melibatkan golongan berpengaruh dan selebriti tempatan.
“Kira-kira dua minggu lalu, seorang selebriti turut ditahan kerana tidak membayar cukai jalan bagi kenderaan jenis Bentley miliknya. Bagaimanapun, dia terus membuat bayaran dan kenderaan itu sudah pun dilepaskan,” katanya.
Menurutnya, JPJ memberikan peringatan tegas kepada semua pemilik kenderaan, khususnya kenderaan mewah, agar tidak memandang remeh aspek pematuhan undang-undang jalan raya.
“Kita akan meneruskan operasi ini secara konsisten dan berterusan,” katanya.

