
KUALA LUMPUR: Penantian selama dua dekad akhirnya berbaloi buat gitaris legenda, Man Kidal apabila impiannya untuk berkolaborasi dengan Raja Dangdut Indonesia, Rhoma Irama, 79, bakal direalisasikan menerusi sebuah album khas.
Album berjudul Man Kidal ke-45 Tahun Nusantara itu akan menghimpunkan karya serta sentuhan muzik artis dan pemuzik dari Malaysia dan Indonesia.
Man Kidal atau nama sebenarnya Abdul Rahman Mahmood, 63, berkata kecintaannya terhadap muzik Rhoma Irama bermula sejak era 1970-an sehingga mendorongnya berulang-alik ke Jakarta selama 20 tahun untuk mendekati penyanyi legenda berkenaan.
Katanya, Lefthanded yang dianggotainya turut pernah mengetengahkan lagu berunsur dangdut karya Rhoma, namun diolah dengan acuan muzik rock.
“Sejak dulu lagi saya memang meminati muzik Rhoma. Walaupun muziknya berteraskan dangdut, terdapat unsur dakwah yang kuat dalam karya beliau.
“Lefthanded juga pernah membawakan lagu berunsur dangdut dan memberikan sentuhan rock, termasuk Seruan.
“Memang sejak sekian lama saya menyimpan impian untuk menghasilkan album bersama Rhoma. Sebab itu saya sanggup berulang-alik ke Jakarta selama 20 tahun untuk mengeratkan hubungan dengannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Eksklusif Nusantara anjuran Keedal Entertainment bersama Rhoma Irama dan Soneta Group, di sini.
Menurut Man Kidal, usaha untuk menjayakan projek berkenaan bukan mudah apabila empat percubaan terdahulu tidak berhasil.
Bagaimanapun, katanya, segala penantian itu akhirnya terbayar apabila Rhoma bersetuju menyertai projek berkenaan pada tahun ini.
“Selepas empat kali tidak menjadi, akhirnya projek kolaborasi yang menghimpunkan artis dan pemuzik dari Malaysia serta Indonesia ini berjaya direalisasikan.
“Saya sangat bersyukur apabila Rhoma yang juga terkenal menerusi lagu Begadang dan Darah Muda bersetuju untuk terbabit dalam projek ini,” katanya.
Tambahnya, segala persiapan termasuk urusan perundangan telah dilakukan sebelum beliau berkunjung ke Jakarta bulan lalu untuk mendapatkan persetujuan Rhoma.
“Rhoma juga menyatakan hasrat supaya kami mengadakan majlis makan malam serta melengkapkan kontrak bagi projek ini.
“Saya amat menghargai kesudian Rhoma untuk bekerjasama. Insya-Allah, saya berharap hubungan silaturahim yang terjalin ini akan terus berkekalan,” katanya.
Dalam pada itu, Man Kidal berharap projek berkenaan bukan sekadar menggabungkan dua figura muzik, sebaliknya mampu menjadi jambatan yang mengeratkan hubungan industri muzik Malaysia dan Indonesia.
Beliau turut berharap album itu dapat memberi inspirasi kepada generasi baharu serta membuka lebih banyak peluang untuk pemuzik kedua-dua negara bekerjasama.
“Album ini akan memuatkan enam lagu dan proses rakaman akan dilakukan di Kuala Lumpur serta Jakarta.
“Album berkenaan dijangka dilancarkan pada 7 November ini,” katanya.
The post Man Kidal sanggup tunggu 20 tahun demi Rhoma Irama appeared first on Utusan Malaysia.


