MAN Malaysia pamer trak spesifikasi ADR tertinggi kepada pemain industri minyak dan gas
zulfadli
04/07/2023 - 10:39
KUALA LUMPUR 4 Julai - MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd (MAN Malaysia) mempamerkan dua buah trak MAN TGS dengan spesifikasi ADR Kelas EX/II dan EX/III tertinggi untuk syarikat-syarikat pengangkutan industri minyak dan gas, pembina badan trak, rakan niaga dan agensi kerajaan, baru-baru ini.
ADR atau 'Accord Dangereux Routier' dalam bahasa Perancis bermaksud 'Perjanjian Eropah tentang Pengangkut Barangan Bahaya melalui Jalan Raya Antarabangsa' dan merupakan standard yang mentadbir pengangkutan barangan bahaya melalui jalan raya.
Tidak seperti kebanyakan trak ADR di pasaran Malaysia yang hanya mematuhi sehingga Kelas FL (dilengkapi untuk membawa cecair mudah terbakar), MAN Malaysia tmelengkapkan varian Trak MAN TGS ADR Euro V yang kini terbukti dan terkemuka di pasaran dengan spesifikasi Kelas EX/II dan EX/III sebagai standard.
Ini bermakna kenderaan tersebut disahkan sesuai untuk mengangkut kargo termasuk bahan letupan atau objek dengan bahan letupan.
Pengarah Urusan MAN Malaysia, Andrew O'Brooks berkata, keputusan syarikat untuk menawarkan varian Trak MAN TGS ADR dengan ciri keselamatan tahap tertinggi mencerminkan komitmennya sebagai pengeluar trak bertanggungjawab dan bertekad memastikan keselamatan untuk pemandu, perniagaan dan orang awam di setiap perjalanan mengangkut kargo berbahaya.
"Trak MAN TGS ADR berkuasa Euro V dibina dengan mengambil kira keselamatan sepenuhnya.
"Ciri keselamatan pasif yang utama termasuk beg udara pemandu dan tali pinggang keledar tiga mata bersepadu dengan penegang sebagai standard; suis pemotongan kuasa kecemasan di dalam dan di luar kabin; roda aluminium dan bukannya keluli untuk mengurangkan berat dan geseran.

"Selain itu, sistem pemulangan bumi yang mana tiada kabel bumi disambungkan ke casis untuk mengelakkan renjatan elektrik. Wayar juga disarungkan dalam bahan pelindung kebakaran walaupun untuk varian Trak MAN standard," katanya dalam kenyataan media di sini.
Menurut Andrew, keselamatan aktif disediakan menerusi sistem pengurusan brek elektronik MAN BrakeMatic proprietari yang menyatukan dan menyelaraskan tindakan brek servis, sistem kawalannya dan sistem brek berterusan apabila pedal brek ditekan untuk mengelakkan kejadian 'jackknife' dan memastikan trak sentiasa berada dalam garisan lurus.

Trak MAN dengan enjin Euro V sebagai enjin standard menerajui pencapaian keselesaan memandu, kecekapan penggunaan bahan api, sistem bantuan, rangkaian digital dan kemampanan.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang MAN TGS dengan spesifikasi ADR, sila layari www.man.com.my. - DagangNews.com


