
BILA sebut pasal alam persekolahan dulu-dulu, salah satu kenangan yang paling menggamit jiwa pastinya riuh-rendah dalam bas sekolah.
Masih ingat lagi bau kusyen nipis, angin sepoi-sepoi bahasa dari tingkap yang dibuka seluas-luasnya, dan deretan beg sekolah yang bertimbun di bahagian depan. Namun, kalau diperhatikan situasi jalan raya hari ini, bayang bas sekolah yang sarat dengan gelak tawa si cilik makin hari makin makin pupus ditelan zaman.
Fenomena ini turut menarik perhatian pelakon Adam Corrie. Menerusi satu hantaran ringkas di akaun Threads miliknya, bapa kepada seorang cahaya mata lelaki ini meluahkan rasa hairan apabila mendapati senario murid menaiki bas sekolah semakin jarang kelihatan.
"Saya perasan sekarang susah nak nampak anak-anak naik bas sekolah. Kebanyakannya ibu ayah hantar. Adakah sebab bayaran bas sekolah sekarang mahal, sekolah dekat dengan rumah atau dah tak ada bas sekolah?" soalnya penuh rasa ingin tahu.
Bukan itu sahaja, pelakon filem KL Gangster itu turut mengimbau kenangan era 1980-an sambil bertanyakan tambang semasa yang perlu ditanggung ibu bapa hari ini.
"Sekarang kena bayar berapa sebulan bas sekolah untuk seorang? Dulu-dulu tahun 80-an RM11 atau RM15," kongsinya lagi.

Hantaran berkenaan nyata memancing perhatian ramai warga maya yang tampil berkongsi pelbagai jawapan, sudut pandang serta pengalaman peribadi masing-masing.
Rata-ratanya mendedahkan pelbagai faktor utama mengapa perkhidmatan pengangkutan ikonik itu kian dilupakan.
Faktor keselamatan serta isu kualiti servis antara yang paling kerap dibangkitkan. Seiring perkembangan zaman, ramai ibu bapa kini lebih berhati-hati dan enggan mengambil risiko demi keselamatan zuriat tersayang.
"Apa yang saya perasan, selain isu kos yang semakin mahal, isu keselamatan juga memainkan peranan. Kes kehilangan budak sekolah, jadi parents pilih untuk hantar anak-anak dengan sendiri. Sekaligus membunuh perkhidmatan bas sekolah secara perlahan," ulas seorang pengguna Threads.
Selain itu, aspek ketepatan masa serta keselesaan turut menjadi punca ramai bapa dan ibu beralih kepada alternatif lain seperti pemandu peribadi atau van sekolah yang lebih kecil.
"Bukan pasal mahal pun. Servis lambat. Baik guna personal driver, group of 4 orang macam tu. Cepat sampai rumah, boleh bersekali dengan transit kalau sekolah agama. Efficient, effective & safe," tambah netizen lain.

Isu kadar yuran
Dalam pada itu, isu kadar yuran bulanan yang semakin meningkat juga tidak dapat dinafikan memberi tekanan kewangan kepada sesetengah keluarga, terutamanya bagi mereka yang mempunyai anak ramai.
"Mahal sekarang. Jarak ke sekolah 1.9 km dan yuran bas RM100 sebulan tidak termasuk caj tambahan hari kokurikulum. Mungkin ada yang rasa murah tapi kalau anak ramai, memang terasa kos yuran bas ni," luah seorang ibu.
Malah, ada yang mengeluh kerana tetap perlu membayar tambang penuh walaupun sesi persekolahan bercuti panjang.
"Bulanan bas RM120-140 seorang. Dah lah mahal, kalau cuti sekolah dua minggu pun cas penuh," tulis seorang lagi pengguna.
Walau bagaimanapun, tidak kurang juga dalam kalangan ibu bapa yang tidak kisah berbelanja lebih sekiranya perkhidmatan yang ditawarkan berbaloi, selesa dan menjamin keselamatan anak-anak.
"Anak saya naik van sekolah, RM130 pergi dan balik. Sekolah menengah dua orang pergi dan balik, sekolah rendah dua orang balik sahaja. So total RM380, dapat lah diskaun sikit. Alhamdulillah puas hati, anak-anak tak complain. Hantar dan ambil betul-betul kat depan rumah," kongsi seorang pengguna yang berpuas hati.
Perspektif tersebut turut disokong oleh seorang pengusaha pengangkutan sekolah yang menjelaskan bahawa kualiti perkhidmatan seiring dengan kos yang dikenakan.

"Ibu ayah yang berjaya hantar dan ambil anak dari sekolah pun satu nikmat. Tapi sekiranya tak boleh sebabkan kekangan masa, maka terpaksa guna servis bas atau van sekolah. Dan semestinya pengusaha ini pun mencari rezeki dari sumber itu, maka di situ akan ada kos caj yang perlu dikenakan. Isunya mahal atau murah, cepat atau lambat terletak pada servis kualitinya. Macam saya memang harga agak tinggi, tapi saya percaya servis kualiti yang saya berikan terbaik. Tak buat kerja asal cukup saja, pastikan anak-anak selesa di dalam van, tak berhimpit-himpit," jelasnya panjang lebar.
Bagi kawasan yang mempunyai kemudahan pengangkutan awam percuma seperti Bas Selangor, ada juga ibu bapa yang melatih anak-anak berdikari menggunakannya, terutamanya bagi pelajar sekolah menengah. Namun bagi sekolah rendah, alternatif van khas atau upah individu tetap menjadi pilihan utama.
Pada akhirnya, tidak kira sama ada ibu bapa memilih untuk mengangkut anak sendiri demi berbilang jimat dan meluangkan masa, atau menyerahkan tugas itu kepada pengusaha bas sekolah, keutamaan setiap ibu ayah tetap sama iaitu memastikan keselamatan dan keselesaan anak-anak terjamin sepanjang perjalanan menuntut ilmu.
