‘Manalah saya ada duit sebanyak itu’

LocalHealth & Fitness
19 Nov 2026 • 8:20 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Manalah saya ada duit sebanyak itu’

SEBERANG PERAI – Seorang pesawah resah apabila diminta menyediakan RM90,000 bagi menampung kos pembedahan segera ke atas bayi perempuannya berusia lapan bulan yang menghidap penyakit jantung berlubang.

Mohamad Alamin Abdullah, 52, berkata, anaknya, Nur Sofia Zahirah kini berada dalam kea­daan kritikal dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan di hospital sejak sebulan lalu.

Katanya, anaknya disahkan mengalami kecacatan septum ventrikel iaitu lubang pada din­ding pemisah antara dua ruang bawah jantung.

“Masalah itu hanya diketahui selepas anak dimasukkan ke hospital akibat jangkitan influenza ketika berusia tujuh bulan.

“Pada awalnya, doktor mengesan bunyi tidak normal pada jantungnya sebelum pemeriksaan lanjut mengesahkan terdapat lubang berukuran satu senti­meter pada organ berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Mohamad Alamin, anaknya dilahirkan pramatang 34 minggu dengan berat hanya 1.9 kilogram sebelum dibenarkan pulang selepas seminggu di hospital.

Bagaimanapun, katanya, kesihatan anaknya itu mula merosot apabila mengalami sesak nafas dan demam ketika berusia tujuh bulan.

“Doktor menyarankan agar Nur Sofia Zahirah menjalani pembedahan segera dengan kos RM90,000 untuk menyelamatkannya, namun jumlah itu di luar kemampuan saya,” katanya.

Ujar Mohamad Alamin, isterinya, Noorasmanizam Mohtar, 46, dan seorang lagi anak perempuan mereka berusia sembilan tahun turut mempunyai sejarah masalah jantung berlubang.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka kini dalam keadaan stabil dan masih perlu menjalani pemeriksaan secara berkala.

Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihak­nya melancarkan kutipan dana RM90,000 bagi membantu keluarga berkenaan.

“Selepas meneliti permohonan berkenaan, kami memutuskan untuk melancarkan kutipan membantu bayi itu,” katanya.

Orang ramai yang ingin me­nyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (3201428817) atau melayari laman web onehopecharity.org.

The post ‘Manalah saya ada duit sebanyak itu’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved