
Kota Kinabalu: Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Ceasar Mandela Malakun, menggesa perpaduan dan persefahaman antara ahli politik dan parti politik di Sabah, mengatakan “sudah tiba masanya untuk menamatkan sejarah panjang politik yang membinasakan di negeri ini. ”
Membuat gesaan tersebut, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah itu berkata, tanpa perpaduan dan persefahaman, tidak akan ada keamanan di Sabah.
“Jika pemimpin dan ahli politik tidak berdamai, Sabah tidak boleh aman. Masa depan kita bersama terancam. Kelangsungan hidup rakyat Sabah dalam konteks negara dan dunia yang lebih besar mungkin terancam.
“Jadi, mari kita saling berdamai antara satu sama lain. Mari kita bekerjasama untuk menamatkan sejarah panjang kita dalam politik yang membinasakan di negeri ini,” katanya.
Mandela mengulas kenyataan pemimpin Warisan iaitu Azis Jamman, Jo-Anna Sue Henley Rampas dan Mohd Fakhurazzi Aliuddin terhadapnya baru-baru ini.
Mandela mencadangkan bahawa pemimpin muda seperti Jo-Anna dan Fakhurazzi boleh memainkan peranan penting dalam mengubah cara lama kepada yang baharu.
“Cukuplah dengan cara lama bermain politik di mana satu pihak akan melakukan serangan peribadi dengan pelbagai cara, dengan harapan dapat dilihat sebagai pemimpin lebih baik atau parti lebih baik untuk rakyat.
“Seringkali, serangan sebegitu bersifat peribadi. Sudah tiba masanya kita belajar menjadi lebih matang dari segi politik. Apabila kita berbuat demikian, masyarakat kita akan berubah. Jadi saya menyeru semua ahli politik muda dari kedua-dua belah politik untuk mula memacu perubahan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa arena politik tidak semestinya menjadi “medan pembunuhan” di mana ahli politik membunuh watak satu sama lain atau membuat serangan peribadi untuk menjadikan dirinya kelihatan baik dan relevan.
Beliau percaya rakyat juga berharap untuk melihat ahli politik dan pemimpin sentiasa berkelakuan terbaik dan bertindak lebih profesional apabila berada di khalayak ramai.
“Saya rasa kita semua sama-sama setuju bahawa orang ramai sudah muak dengan cara ramai ahli politik berkelakuan.
“Mereka serik menerima maklumat mengenai cara mereka bergaduh sesama sendiri tanpa henti. Mereka bosan melihat bagaimana mereka saling menjatuhkan demi menaikkan nama mereka,” kata Mandela.
Beliau mencadangkan supaya mereka sebaliknya menolak ego mereka dan berpandukan nilai-nilai murni.
“Saya hanya seorang pemimpin muda seperti ramai yang lain sama ada mereka dalam GRS, Warisan atau PH. Saya rasa kita memasuki dunia politik pada masa dunia melihat begitu banyak detik transformasi.
“Tindakan berani Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor keluar daripada parti kebangsaan berasaskan kaum kepada parti berbilang kaum Sabah dalam Gabungan Rakyat Sabah telah mendapat sokongan meluas daripada rakyat Sabah yang berbilang kaum, warna kulit dan kepercayaan.
“Melalui ini, kami berhasrat untuk memulakan lembaran politik baharu di Sabah,” katanya.
Sempena Krismas dan ketibaan tahun baharu, Mandela berkata inilah masa terbaik untuk semua pemimpin mendukung keamanan, perpaduan dan persefahaman bersama.
“Ini adalah nilai-nilai yang sepatutnya membentuk asas politik Sabah. Ini dasar kita untuk membina selebihnya termasuk masa depan ekonomi kita dan kesejahteraan rakyat Sabah,” tambahnya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

