Mane, Sane bergaduh di bilik persalinan

Football
13 Apr 2023 • 10:48 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mane (kiri) dan Sane dilaporkan bergaduh di bilik persalinan selepas perlawanan menentang City.

PENYERANG Bayern Munich, Sadio Mane dan Leroy Sane bergaduh di bilik persalinan selepas tewas 0-3 kepada Manchester City dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara semalam, lapor media Jerman pada Khamis.

Menurut Bild, Sky Jerman dan beberapa media lain, kedua-dua pemain itu bergaduh selepas perlawanan tamat dan terpaksa dileraikan oleh rakan sepasukan.

Sane dilaporkan ditumbuk di bahagian muka oleh pemain antarabangsa Senegal itu menyebabkan dia mengalami luka di bibir.

Bayern enggan memberikan sebarang komen mengenai perkara tersebut, namun Bild melaporkan ketegangan kedua-dua pemain itu berlaku ketika minit akhir perlawanan menentang City.

Kekalahan itu adalah kekalahan terbesar Bayern dalam Liga Juara-Juara sejak 2017.

Juara Eropah enam kali itu masih mempunyai harapan untuk memulihkan defisit pada perlawanan timbal balik di Munich minggu depan untuk mara ke separuh akhir.