Manfaat bantuan khas AnIS tampung keperluan susu khas, lampin pakai buang

14 Dec 2022 • 4:47 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 14 DIS: Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (AnIS) membantu meringankan beban ibu bapa menampung keperluan anak istimewa yang memerlukan perbelanjaan agak besar setiap bulan.

Suri rumah Tan Kai Loo, 41, teruja apabila dimaklumkan anaknya Hilary Fong, 4, yang menghidap sindrom down layak menerima bantuan tersebut selepas menghantar permohonan pada Mei lalu.

image is not available“Bantuan ini dapat membantu menampung perbelanjaan keperluan anak saya kerana perbelanjaan bulanan untuk susu khasnya sahaja mencecah hingga RM800.

“Sebelum ini pernah cuba beri minum susu biasa, tetapi tidak sesuai dan dia terpaksa dimasukkan ke hospital,” katanya.

Beliau antara 41 penerima Bantuan Khas AnIS yang disampaikan EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud pada majlis penyerahan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

image is not availablePerkara sama turut diakui Nurul Azhar Norrin, 36, dalam menampung perbelanjaan anaknya, Muhammad Darwish Danial Nurul Azhar, 11, yang menghidap penyakit tulang rapuh sejak berusia empat bulan.

Nurul Azhar yang turut menghidap penyakit sama kini menjaga anaknya sepenuh masa selepas menamatkan kerjayanya sebagai atlet paralimpik sukan angkat berat pada 2018.

“Duit bantuan ini akan digunakan untuk beli lampin pakai buang dan susu khas kerana anak saya perlu pakai lampin pakai buang ketika di sekolah dan susu khasnya agak mahal juga boleh mencecah hingga RM600 sebulan,” katanya.