Manfaat kecanggihan teknologi dan kemenjadian murid, SMK Kampong Jawa raih kejayaan di pelbagai peringkat

20 Jul 2022 • 5:43 PM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

image is not available

Pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak lebih dua tahun lalu menyebabkan peralihan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) daripada konvensional kepada digital berlaku lebih cepat daripada yang kita sangkakan.

Kebanyakan guru-guru sekolah kini sudah ramai yang menggunakan teknologi sebagai bahan bantuan mengajar sekali gus menjadikan proses PdP menjadi lebih santai dan menyeronokkan.

Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Jawa (SMKKJ), Klang, Selangor antara yang tidak ketinggalan memanfaatkan kecanggihan teknologi bagi memastikan guru-guru menguasai kemahiran menggunakan pendekatan digital supaya murid-murid dapat terus belajar meskipun dalam tempoh pandemik.

Antaranya ialah membuat usaha sama dengan guru praktikal dalam memperkasakan penggunaan digital dalam pembelajaran seperti tutorial penggunaan whiteboard.fi, penggunaan buku teks digital, jamboard, padlet, canva dan TikTok.

Keberhasilan guru dalam penguasaan digital ini turut menjurus kepada kemenjadian murid di mana mereka belajar untuk menyediakan sumber bagi sesi pembentangan sehingga mendorong pihak sekolah menganjurkan pertandingan Gen-Z bagi melahirkan murid yang kreatif dan berinovasi dalam menghasilkan karya seperti poster dan infografik dalam bentuk digital.

image is not available

Selain itu, SMKKJ yang menyertai Anugerah Sekolah S.M.A.R.T (ASSSB) di bawah kategori Sekolah Menengah – Luar Bandar turut berjaya melahirkan pelajar yang berbakat dalam bidang sukan olahraga sehingga mampu mencipta pelbagai kejayaan di pelbagai kejohanan.

Pelajar Tingkatan Lima SMKKJ, Danial Shah Putra Hazlam berjaya mendapat naib johan Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Selangor (MSSS) bagi acara lompat jauh berdiri.

image is not available

Dia juga dinobatkan sebagai naib johan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Klang bagi acara 110 meter (m) lari berpagar pada 2020 dan mendapat tempat ketiga Kejohanan Olahraga MSSD Klang 2020 bagi acara 400m lari berpagar.

Inisiatif digital yang dilaksanakan SMKKJ ini bukan saja mampu menjadikan tenaga pengajar di sekolah itu memiliki kemahiran teknologi yang terkini tetapi juga mampu menerapkan aspek penggunaan teknologi digital kepada pelajar-pelajarnya.

Ternyata, pelbagai usaha yang dilakukan SMKKJ terutama sepanjang tempoh pandemik yang lalu membuahkan hasil apabila sekolah berkenaan berjaya disenarai pendek sebagai 10 buah sekolah terbaik dunia bagi kategori ‘Menangani Cabaran’.

Artikel berkaitan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok