Manfaatkan Keberkatan Ramadan, LHDN Anjur Majis Iftar Bersama Pengamal Media

LocalPolitics
12 Mar 2025 • 9:39 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Kemeriahan Ramadan diteruskan lagi dengan penganjuran Majlis Iftar Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL), Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin bersama dengan hampir 100 orang pengamal media daripada 50 agensi di The Westin Hotel, Kuala Lumpur.

Program yang julung kali diadakan bersama dengan pengamal media ini dianjurkan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih atas sumbangan serta kerjasama pihak media kepada HASiL dalam membantu menjayakan setiap program yang dilaksanakan, sekali gus secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan hasil kutipan cukai tahun 2024.

Peranan pengamal media adalah sangat signifikan dalam memastikan penyampaian maklumat yang berkesan ke arah membentuk masyarakat yang berinformasi, peka, bertanggungjawab dan mendapat berita yang sahih.

image is not available

Pelaporan berkaitan dengan maklumat-maklumat percukaian secara berterusan adalah penting bagi meningkatkan tahap pengetahuan dan kesedaran pembayar cukai terhadap tanggungjawab mereka kepada negara terutama sekali untuk menanam rasa bangga membayar cukai dan bukan sebagai satu bebanan.

Dengan bantuan pengamal media, HASiL mampu mengubah persepsi ini dengan menyampaikan naratif yang tepat berhubung dengan kepentingan cukai kepada negara, bangsa dan agama.

Majlis santai bersama dengan pengamal media ini turut dihadiri oleh Datuk Hisham Rusli, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan), Encik Khairul Halimin Abdul Halim, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan), Encik Shaharrudy Othman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian), Puan Norfaidah Daud, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar), Encik Ahmad Khairuddin Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Cawangan Khas) serta pengurusan kanan HASiL.

Dalam ucapannya, Dr. Abu Tariq Jamaluddin mengakui peranan penting media dalam menyampaikan maklumat dengan berkesan, bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga melalui jaringan media yang merentasi benua. Tambah beliau, peranan pengamal media amat penting khususnya dalam menyebarkan maklumat yang tepat dan jelas berkaitan dasar, inisiatif dan program yang dilaksanakan oleh HASiL.

image is not available

Melalui liputan berita, artikel dan siaran media sosial yang meluas di saluran media perdana, diharapkan agar hasrat untuk meningkatkan kesedaran awam berkaitan kepentingan dan tanggungjawab percukaian dapat dicapai.

Menurut HASiL, keberadaan rakan-rakan komuniti media akan menyemarakkan lagi semangat pihaknya untuk memberikan komitmen terbaik dalam melaksanakan amanah kepada masyarakat dan negara.

Dengan berlangsungnya majlis ini, semoga jalinan kerjasama yang baik antara HASiL dan agensi media dalam mencapai gagasan Malaysia MADANI dapat diperkukuh. Setiap perkongsian maklumat dari semasa ke semasa oleh HASiL juga diharapkan akan mendapat liputan terbaik pihak media sekali gus membantu pembayar cukai dan masyarakat menjalankan tanggungjawab mereka sebaiknya kepada negara yang kita cintai.