Mangsa bah di Kedah meningkat kepada 1,359, tiga PPS dibuka

30 Sep 2024 • 8:50 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

ALOR SETAR, 30 SEPT: Tiga lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, menjadikan jumlah mangsa banjir di Kedah yang ditempatkan di 11 PPS meningkat kepada 1,359 orang daripada 436 keluarga berbanding 917 orang daripada 293 keluarga, malam tadi.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dua PPS baharu dibuka di daerah Kota Setar iaitu SK Titi Gajah yang menempatkan 145 orang daripada 46 keluarga dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepala Batas seramai 73 orang daripada 26 keluarga, manakala SMK Alor Merah menempatkan 123 orang daripada 35 keluarga.

Di Pokok Sena, satu PPS baharu dibuka di Surau Desa KEDA Derang, sekali gus menjadikan lima PPS beroperasi di daerah itu iaitu Maahad Tarbiyah Islamiyah Derang, Dewan Serbaguna Pokok Sena, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Hijau Mukim Derang dan Masjid Kampung Baru Jalan Lampam yang menempatkan 734 orang daripada 231 keluarga.

Di Kubang Pasu, seramai 284 orang daripada 98 keluarga ditempatkan di tiga PPS iaitu SMK Changlun, Dewan Lubuk Batu dan SK Bandar Baru Darul Aman.

Berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) setakat 8 pagi ini, paras Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Sungai Bata di Kampung Bata, Kubang Pasu, Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Kota Setar, dan Sungai Titi Kerbau di Kubur Panjang, Pendang, telah melepasi paras bahaya.

— BERNAMA

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved