Mangsa banjir di Selangor libatkan 848 mangsa

17 Nov 2022 • 9:59 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 17 NOV: Seramai 848 mangsa banjir di Selangor dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki air akibat hujan lebat malam tadi.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi Facebook memaklumkan mangsa banjir membabitkan 208 keluarga dan lapan PPS telah dibuka.

Lima daerah yang terlibat dalam bencana alam itu adalah Klang, Kuala Selangor, Hulu Langat, Petaling dan Sabak Bernam.

“Mangsa banjir dari daerah Petaling paling ramai dipindahkan iaitu 437 daripada 104 keluarga yang ditempatkan di dewan Camela Putra Height dan Masjid Putra Height,” katanya.

Mangsa banjir Hulu Langat ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Hulu Semenyih dan Kuala Selangor di Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram.

Di Klang mangsa banjir berada di balai MPPK Kampung Jalan Kebun Batu 7 dan Masjid Johan Setia.

Mangsa banjir di Sabak Bernam ditempatkan di dewan Bagan Nakhoda Omar dan dewan Simpang Lima.

Sabtu lalu, seramai 903 mangsa banjir daripada 217 keluarga telah ditempatkan di lapan PPS dan keadaan mereka beransur pulih tiga hari kemudian.