Mangsa banjir di Terengganu terus meningkat

21 Nov 2023 • 7:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Penduduk Kampung Alor Surau Panjang membawa barangan untuk ke tempat lebih selamat selepas rumah mereka dilimpahi air berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lepas. - Foto Bernama

image is not available
Sekumpulan lelaki membantu menolak kereta yang terbabas ke dalam longkang selepas jalan raya dilimpahi air ekoran hujan lebat sejak beberapa hari lepas semasa tinjauan di Kampung Alor Surau Panjang pada Selasa. - Foto Bernama

image is not available
Sekumpulan kanak-kanak bermain air dengan menaiki pelampung selepas kawasan berkenaan dinaiki air ketika tinjauan di Kampung Gong Baru pada Selasa. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Terengganu merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 2,645 orang daripada 701 keluarga dengan 18 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat jam 5 petang, Selasa.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), daerah Kuala Nerus dan Marang merekodkan peningkatan masing-masing seramai 1,105 dan 596 mangsa.

Bagaimanapun di Kuala Terengganu menunjukkan penurunan jumlah mangsa banjir iaitu 665 mangsa daripada 194 keluarga.

**media[2432463]**

"Dua lagi daerah masih mengekalkan jumlah sama iaitu Besut dengan 253 mangsa melibatkan 54 keluarga manakala Setiu hanya 26 mangsa dengan enam keluarga," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sementara itu di Kelantan, dua PPS dibuka di Pasir Puteh bagi menempatkan 71 mangsa banjir melibatkan 11 keluarga.

Dua PPS berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Raja dan SK Dalam Rhu.

Nadma berkata, jumlah mangsa di daerah Kerian, Perak pula masih sama iaitu 39 mangsa daripada 14 keluarga dan hanya satu PPS dibuka bagi menempatkan mereka yang terjejas.

**media[2432462]**

Ketika ini, hujan masih melanda di beberapa tempat di Terengganu dan Jabatan Meteorologi Malaysia memberi amaran hujan lebat di beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu hingga Rabu.