
JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus bertambah kepada 4,368 orang membabitkan 1,218 keluarga yang ditempatkan di 46 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 4 petang.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, bilangan berkenaan berbeza jika dibandingkan dengan 4,207 mangsa banjir membabitkan 1,164 keluarga yang ditempatkan di 45 PPS pada jam 2 petang.
Menurut beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), sehingga kini tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
"Segamat terus mencatatkan bilangan mangsa banjir paling ramai dengan 1,522 orang daripada 424 keluarga di 20 PPS berbanding 1,521 orang membabitkan 428 keluarga daripada 19 PPS pada jam 2 petang.
"Ini diikuti bilangan mangsa banjir di Kluang iaitu seramai 1,222 orang membabitkan 348 keluarga di 11 PPS berbanding 1,212 orang daripada 348 keluarga ditempatkan di 11 PPS," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, Mersing pula mencatatkan penurunan dengan menempatkan 708 orang membabitkan 221 keluarga di empat PPS berbanding 717 orang membabitkan 207 keluarga di empat PPS sebelumnya.
"Bilangan mangsa di Kota Tinggi pula masih sama apabila menempatkan 591 mangsa banjir membabitkan 144 keluarga di enam PPS.
"Batu Pahat pula mencatat 119 mangsa membabitkan 35 keluarga di dua PPS berbanding 151 membabitkan 32 keluarga di dua PPS sebelumnya manakala Muar mencatat bilangan sama iaitu 15 mangsa daripada lima keluarga di tiga PPS," katanya.
Mengikut ramalan dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) sembilan daripada 10 daerah di Johor akan terus mengalami hujan lebat membabitkan Segamat, Kluang, Mersing, Batu Pahat, Muar, Pontian, Kota Tinggi, Tangkak dan Kulai.
