Mangsa buli siber cenderung mengadu kepada rakan - Pakar

Family & Parenting
14 Oct 2026 • 8:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Mangsa buli siber cenderung mengadu kepada rakan - Pakar
Mangsa buli siber terutamanya remaja lebih cenderung berkongsi masalah dengan rakan sebaya. Foto hiasan (Gambar kecil: Fauziah (kiri), Nur Salimah)

ALOR SETAR – Mangsa buli siber terutamanya remaja lebih cenderung berkongsi masalah dengan rakan sebaya berbanding keluarga kerana bimbang dimarahi, dipersalahkan atau telefon dirampas.

Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Fauziah Mohd Saad berkata, rakan dianggap lebih memahami dunia digital, bahasa dan budaya media sosial yang dekat dengan kehidupan mereka.

Menurutnya, mangsa juga mungkin bimbang penggunaan media sosial disekat jika pengalaman tersebut diketahui ibu bapa atau orang dewasa.

“Mangsa mungkin malu dan takut orang dewasa menganggap isu itu remeh. Sebab itu, rakan sering menjadi individu pertama yang mengetahui keadaan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau memberitahu, tindakan mangsa berkongsi pengalaman dengan rakan sebenarnya menunjukkan mereka sedang mencari sokongan, maka ia tidak patut dipandang ringan.

Jelasnya, rakan yang menerima pendedahan itu perlu berperanan sebagai penyokong dan bukannya menjadi pembalas kepada mangsa.

“Rakan perlu mendengar tanpa menghakimi dan yakinkan mangsa bahawa dia tidak perlu menghadapi situasi itu seorang diri.

"Jangan membalas pembuli dengan membuat hantaran balas, menyebarkan tangkap layar kepada kumpulan lain atau mengajak rakan-rakan menyerang pembuli kerana tindakan itu boleh membesarkan konflik,” ujarnya.

Fauziah berkata, rakan disaran membantu mangsa menyimpan bukti seperti tangkap layar, nama akaun, mesej dan tarikh kejadian selain menggunakan fungsi ‘block’ serta ‘report’ pada platform media sosial.

Tambah beliau, galakkan mangsa mendapatkan bantuan daripada orang dewasa yang dipercayai seperti ibu bapa, guru atau kaunselor sekolah.

“Jika terdapat ugutan keselamatan, ancaman seksual, penyebaran gambar peribadi atau mangsa menunjukkan tanda mahu mencederakan diri, perkara itu tidak boleh disimpan sebagai rahsia antara rakan dan orang dewasa perlu dimaklumkan segera,” katanya lagi.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi dan Fakulti Perniagaan Universiti Malaysia Perlis, Dr Nur Salimah Alias berkata, rakan sebaya boleh menjadi sebahagian daripada sistem sokongan awal kepada mangsa buli siber.

Menurutnya, reaksi rakan terhadap pendedahan mangsa boleh menentukan sama ada mereka berasa selamat untuk mendapatkan bantuan atau memilih untuk terus berdiam diri.

"Rakan bukan penyelesai masalah atau penyiasat, tetapi mereka boleh membantu mangsa mendapatkan sokongan yang betul tanpa membuat keadaan menjadi lebih buruk," katanya.

Nur Salimah berkata, pendidikan berkaitan buli siber juga perlu diperluaskan dengan mengajar pelajar bukan sahaja cara melindungi diri, tetapi bagaimana menjadi rakan yang selamat apabila seseorang datang meminta pertolongan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved