Mangsa kedua kejadian kebakaran kenderaan di Ipoh meninggal dunia

6 Mar 2024 • 4:27 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

IPOH: Seorang wanita yang parah akibat melecur bersama seorang lagi mangsa dalam kejadian kebakaran kenderaan di Taman Utama Bercham pada 28 Feb, meninggal dunia Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata wanita berusia 57 tahun itu yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, disahkan meninggal dunia pada 9.48 malam.

“Pihak polis mengucapkan takziah kepada ahli keluarga atau waris kepada mangsa yang meninggal dunia.

“Polis juga turut menyeru semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang serta masa bagi memastikan siasatan dibuat secara menyeluruh, adil dan saksama,“ katanya dalam kenyataan.

Pada 29 Feb lalu, seorang lagi mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut iaitu seorang lelaki berusia 64 tahun meninggal dunia sehari selepas kejadian ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi, HRPB.

Dalam kejadian itu, lelaki dan wanita berkenaan yang dipercayai pasangan kekasih ditemukan melecur teruk dalam kebakaran melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dan motosikal jenis Honda C70.

Polis mengklasifikasikan kes tersebut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh berikutan maklumat saksi yang terdengar pertengkaran antara kedua-dua mangsa sebelum kejadian.

Sementara itu, Yahaya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu tampil membantu siasatan.

Katanya sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai penyiasat kes, ASP Fadli Ahmad di talian 019-2500019. -Bernama