JITRA – Seorang lelaki yang maut dalam kebakaran stor penyimpanan khemah di Kampung Pelubang, di sini pada Jumaat dipercayai sempat keluar dari bangunan terbabit sebelum masuk semula untuk mengambil motosikalnya.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, mangsa, Mohd Syaiful Akmal Abu Hassan, 37, dipercayai terperangkap selepas masuk semula ke dalam stor berkenaan ketika kebakaran sedang berlaku.
Menurutnya, maklumat itu diperoleh hasil temu bual dengan kakak mangsa yang berada di lokasi kejadian.
“Kakaknya memaklumkan ketika kebakaran berlaku, mangsa sebenarnya sudah keluar dari stor berkenaan, namun dia masuk semula untuk mengambil motosikalnya sebelum dipercayai terperangkap di dalam stor terbabit,” katanya pada Sabtu.
Beliau berkata, mangsa yang masih bujang itu bekerja sebagai pemasang khemah katering serta menjaga stor penyimpanan barangan kenduri di lokasi tersebut.
Menurutnya, pihak polis menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 2.30 petang pada Jumaat mengenai kebakaran membabitkan sebuah rumah yang dijadikan stor penyimpanan barangan katering di kampung berkenaan.
“Sebaik anggota polis tiba di lokasi, didapati sebuah stor penyimpanan barangan katering kenduri terbakar dan pegawai bomba memaklumkan terdapat seorang lelaki ditemukan meninggal dunia berhampiran stor tersebut.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada unsur jenayah dilaporkan berlaku dan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba,” ujarnya.
Mohd. Radzi berkata, pegawai dan anggota Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah turut menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan tidak menemui sebarang unsur jenayah.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia akibat terbakar dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk proses bedah siasat,” katanya lagi.
Pada Jumaat, media melaporkan seorang lelaki berusia 37 tahun ditemukan maut dalam kebakaran stor penyimpanan khemah di Kampung Pelubang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Azhar Tajudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 5.50 petang.



