
BATANG KALI - Seramai 21 mangsa disahkan meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Batang Kali - Gohtong Jaya di sini, setakat jam 7 malam ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pasukan penyelamat masih menjalankan misi mencari dan menyelamat 12 lagi mangsa yang masih hilang.
“Saya dimaklumkan tadi keseluruhan mangsa adalah 94 orang, yang meninggal dunia 21 orang dan yang belum ditemui seramai 12 orang.
“Jadi operasi diteruskan untuk mencari 12 lagi mangsa yang belum ditemui. Kita doakan mudah-mudahan ada yang terselamat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian.
Ahmad Zahid berkata, beliau juga dimaklumkan terdapat dua aliran air bawah tanah di lokasi kejadian.
“Ini adalah dapatan awal daripada siasatan pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) dan Jabatan Tanah dan Galian,” katanya.
Justeru, beliau mengarahkan mana-mana tapak perkhemahan di atas bukit dan tepi sungai dapat dikosongkan buat sementara waktu.
“Di sungai umpamanya walaupun kawasan tersebut selamat sekarang tapi mengikut Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), hujan lebat akan bermula esok terutamanya di kawasan Pantai Timur.
“Jadi dikhuatiri hujan lebat di hulu sungai akan menyebabkan kepala air yang akan berlaku di kawasan pertengahan atau kawasan kuala sungai.
“Belajar daripada apa yang berlaku di sini, saya harap ibu bapa, guru sekolah dan murid-murid yang mahu bercuti, agar kosongkan tempat itu dulu bagi memastikan tidak ada kejadian sama berlaku,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pusat, beliau akan terus memantau misi pencarian di lokasi kejadian dan memaklumkan perkembangannya dari semasa ke semasa.
Pada masa sama, beliau meminta pasukan penyelamat untuk terus berusaha mencari dan menyelamat mangsa yang masih belum ditemui.
“Agensi penguat kuasa sedaya upaya yang mungkin boleh meneruskan (operasi) dengan kaedah teknologi baru dan jentera berat.
“Pada masa sama kita juga menggunakan khidmat anjing pengesan untuk mengesan mayat yang tertimbus,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid juga berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turun meninjau keadaan di lokasi kejadian malam ini. - Getaran, 16 Disember 2022

