
SHAH ALAM - Seorang lelaki menanggung derita hampir lumpuh akibat dilanggar oleh penungggang motosikal yang tidak mempunyai lesen, insurans dan cukai jalan tamat tempoh.
Lebih menyedihkan lagi, mangsa terpaksa menanggung kos rawatan sebanyak RM40,000 berbanding pelaku yang membayar denda RM300 sahaja.
Luahan rasa itu dikongsikan pengguna TikTok Azwar Kamaruzaman dipercayai abang kepada mangsa tersebut.
Menurut Azwar Kamaruzaman, individu yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang meskipun sedang mencari rezeki, tetap akan memudaratkan dan menyusahkan orang lain jika berlaku kemalangan.
Katanya, perasaan simpati boleh diluahkan bila-bila masa tetapi perlu tepat dan bersesuaian dengan situasinya.
"Pada 2016, sehari sebelum Aidiladha, adik saya terlibat dalam satu kemalangan membabitkan dua motosikal.
"Dia terseret di atas jalan raya beberapa meter dan hanya terhenti selepas badannya terlanggar sport rim kereta di bahu jalan.
"Hasil siasatan didapati penunggang motosikal terbabit bersalah dan hanya dikenakan denda RM300 kerana tiada lesen, cukai jalan dan insurans," katanya menerusi video dikongsikan di TikTok pada Khamis.
Dia memuat naik video berdurasi 1 minit itu memaparkan gambar-gambar kecederaan yang dialami adiknya selepas dilanggar penunggang motosikal berkenaan.
Tambah Azwar, ia tidak adil dan setimpal kerana mangsa terpaksa menanggung kesakitan serta trauma selain membayar kos tinggi untuk rawatan.
"Tetapi apa yang adik saya dapat, empat tulang belakang patah dan hampir lumpuh. Enam jam dibedah, satu semester belajar terpaksa tangguh dan tidak boleh buat aktiviti berat seumur hidup.
"Kami sekeluarga kena tanggung RM40,000 untuk kos pembedahan dan fisioterapi. Syukur juga emak saya celik sikit pasal kad perubatan dan buatkan semua anak-anak kad tersebut awal-awal," ujarnya.
Dia berkata, sekiranya tiada kad perubatan, adiknya perlu menunggu tiga bulan untuk pembedahan di hospital kerajaan.
"Masih simpati? saya tidak harap apa-apapun namun semoga satu hari nanti akan ada situasi yang membawa anda belajar erti bersimpati atau mengasihani pada tempat dan situasi tepat," katanya.
Seorang lagi pengguna Tiktok dikenali sebagai Cik Intan pula mengalami kecederaan dalaman yang teruk hingga koma 20 hari dan terlantar di unit rawatan rapi (ICU) selama tiga bulan.
Adiknya pula patah dagu akibat dilanggar motosikal ditunggang tanpa lesen dan tiada insurans serta cukai jalan tamat tempoh.
Katanya, meskipun tujuh tahun berlalu, trauma tersebut masih menghantuinya dan sehingga kini dia masih menerima rawatan di hospital kerana kerosakan saraf kaki.
"Tuan motosikal pun dah meninggal dunia. Tetapi saya disaman sebab keluarga dia tuntut insurans motosikal.
"Memang marah dan sedih sebab dia meninggal tapi saya yang meneruskan hidup ini lagi sakit langsung tak dapat pampasan apa-apa," ujarnya.
