Dua lagi individu yang dipercayai terbabit dalam kes pukul pemandu kereta sehingga mati di Kajang pada 20 Februari lalu, ditahan polis, semalam untuk membantu siasatan.
Penahanan dua suspek terbabit berusia 22 dan 39 tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan individu yang ditahan dalam kes ini adalah tujuh orang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya percaya akan ada individu lain yang disyaki terbabit dalam kejadian itu ditahan.
Beliau juga menyatakan bahawa pihaknya ada menerima laporan daripada dua pemilik kenderaan yang terlibat dalam insiden tersebut. Menurut laporan itu, mangsa dikatakan telah melanggar dua kenderaan lain sebelum ditemui meninggal dunia, dipercayai akibat dipukul.
Selain itu, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan. Hasil bedah siasat awal mendapati tiada kecederaan ketara pada mangsa.
Pihak polis masih menunggu keputusan analisis makmal untuk mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.
Semakan rekod juga mendapati mangsa yang berusia 42 tahun didapati positif dadah jenis methaphetamin dan ganja. Malah, mangsa mempunyai 10 rekod lampau dan dikehendaki atas kesalahan dadah.
Datuk Hussein menasihatkan orang ramai supaya tidak menambah-nambah cerita berkaitan kes ini kerana ia boleh memberi kesan kepada siasatan dan mendatangkan kegusaran kepada orang ramai.
Sumber: Harian Metro
The post Mangsa positif dadah, ada 10 rekod lampau & dikehendaki atas kesalahan dadah – Polis appeared first on The Reporter.


