Mangsa ribut dapat bantuan RM3,000 hingga RM5,000 baik pulih rumah

17 Feb 2024 • 3:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kontraktor melaksanakan kerja-kerja baik pulih salah sebuah rumah penduduk terjejas di Taman Bakti, Sungai Manggis, Banting.

image is not available
Papparaidu (empat dari kiri) bertanya sesuatu kepada penduduk selepas rumah mereka di Taman Bakti, Sungai Manggis, Banting dilanda ribut pada Jumaat.

KUALA LANGAT - Mangsa ribut di Taman Bakti, Sungai Manggis, Banting di sini mampu menarik nafas lega apabila kerosakan berlaku melibatkan 10 buah rumah mendapat bantuan baik pulih antara RM3,000 hingga RM5,000.

Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata, jumlah bantuan baik pulih itu bergantung kepada kerosakan dialami penduduk terlibat.

Menurut beliau, kerja-kerja membaik pulih itu dilaksanakan kontraktor dilantik pada Sabtu.

"Kerja-kerja baik pulih sepatutnya bermula semalam (Jumaat) tetapi ditangguhkan pada pagi ini disebabkan kelewatan kedai perkakasan tidak dapat menghantar barang berikutan lewat petang," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

**media[2541215]**

Papparaidu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting memberitahu, kerja baik pulih zink dan atap rumah terjejas itu diharap dapat meringankan beban dan kerisauan penduduk terlibat.

"Saya sendiri telah turun padang untuk melawat rumah mangsa yang terkesan akibat ribut," tambah beliau.

Sebanyak 10 rumah penduduk di taman perumahan itu mengalami kerosakan akibat dilanda ribut pada Jumaat.

Kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu berlaku berikutan hujan lebat dan angin kencang menerbangkan bumbung rumah penduduk.