Manifesto Adalah Idea, Harapan Dan Masa Depan

Politics
12 Aug 2023 • 1:56 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Maksud dan intipati sebenar manifesto perlu difahami dengan baik oleh semua rakyat

Rakyat Malaysia perlu mengambil tahu dan memahami maksud serta intipati sebenar apa yang dimaksudkan sebagai manifesto, setiap kali ia dibentangkan pada mana-mana pilihan raya.

image is not available
Manifesto ialah dokumen pemasaran idea, harapan dan masa depan

Ia bertujuan memilih pengemudi dan barisan wakil yang boleh membawa aspirasi rakyat untuk membangunkan negara. Sebelum penulis berkongsi tentang hukum-hakam manifesto, suka untuk dijelaskan bahawa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mentakrifkan manifesto sebagai dokumen pemasaran idea, harapan dan masa depan. Ia bukan sekadar janji-janji semasa pilihan raya.

Rakyat perlu bijak menilai calon bagi memastikan mereka dapat memilih pemimpin terbaik dalam meneraju negara. Jangan sampai manifesto ini menjadi satu perkataan yang membawa maksud kegagalan atau kekecewaan.

image is not available
Rakyat perlu bijak menilai calon bagi memastikan mereka dapat memilih pemimpin terbaik

Namun bagaimana pula jika calon tersebut sudah memperoleh kemenangan, tetapi tidak melaksanakan manifesto yang disebarkan itu? Apakah pula hukumnya? Berhubung  aspek ini, memang terdapat beberapa perbincangan dalam kalangan ahli agamawan. Imam al-Nawawi berkata:

“Para ulama bersepakat bahawa sesiapa yang berjanji maka dia mesti menunaikannya. Namun adakah ia wajib atau harus?”

Jadi kita mengambil pendekatan Imam Syafie, Imam Abu Hanifah dan jumhur ulama’ yang menyatakan bahawa hukumnya adalah harus. Jika dia tidak menunaikan janji maka dia telah meninggalkan kebaikan. Perkara ini merupakan perbuatan makruh tanzih akan tetapi tidaklah sampai berdosa.

Tetapi perlu ingat, perkara ini juga akan disoal seperti firman Allah SWT lagi di dalam surah yang lain:

وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ ۖ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولًا

Maksudnya: “dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.”

(Surah al-Isra’: 34)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Tunaikanlah apa yang telah kamu janjikan kepada Allah untuk sentiasa menunaikan apa yang Dia bebankan kepadamu mahupun apa yang kamu janjikan kepada manusia, seperti akad-akad muamalat dalam soal jual beli, sewa-menyewa dan sebagainya.

image is not available
Ulama bermazhab Maliki berpendapat, menunaikan janji adalah wajib jika berkait dengan sebab

Selain itu, terdapat juga pendapat sebahagian ulama yang berpandangan bahawa ia adalah wajib. Kata Imam Abu Bakar Ibn al-Arabi, mereka yang berpendapat dengan pandangan ini adalah Khalifah Umar Bin Abdul Aziz. 

Begitu juga, para ulama bermazhab Maliki berpandangan bahawa menepati janji adalah satu perkara yang wajib jika berkait dengan sebab.” Rujuk al-Azkar (hlmn 271)

Perlu diingatkan juga antara sifat-sifat orang beriman adalah menepati janji. Ia adalah sifat yang menyebabkan manusia akan percaya dengan apa yang dikatakan oleh seseorang itu jika dia sentiasa menepati janjinya. Sifat ini telah dijelaskan melalui al-Quran dan al-Sunnah. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.” (Surah al-Maidah: 1)

image is not available
Adalah penting untuk rakyat Malaysia mengundi bagi menyuburkan amalan demokrasi.

Maka sama-samalah kita lihat adakah pemimpin pilihan kita untuk PRN ini menjalankan tugas seiring dengan manifesto yang disebarkan atau tidak. Sebagai rakyat Malaysia adalah penting untuk anda mengundi bagi menyuburkan amalan demokrasi. - Getaran, 12 Ogos 2023