Manifesto BN mampu pacu ekonomi Negeri Sembilan

LocalPolitics
25 Jul 2026 • 1:39 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Manifesto BN mampu pacu ekonomi Negeri Sembilan

KUALA PILAH: Barisan Nasional (BN) yakin tawaran yang digariskan dalam manifestonya mampu menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi Negeri ko jikma diberikan mandat untuk membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, manifesto yang ditawarkan gabungan itu bersifat praktikal dan realistik kerana berasaskan program yang pernah dirancang serta mempunyai asas pelaksanaan yang kukuh.

Menurut beliau, Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan telah menggariskan bahawa manifesto berkenaan merupakan kesinambungan daripada pelbagai program yang pernah dirancang sebelum ini.

Katanya, BN sebelum ini telah meletakkan asas yang kukuh bagi pelaksanaan pelbagai program pembangunan negeri namun tidak dapat meneruskannya kerana tidak mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

“Kami telah meletakkan asas yang kukuh sebelum ini namun disebabkan kita tidak mempunyai kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan, program-program tersebut tidak dapat dilaksanakan.

“Sekiranya Allah SWT menggerakkan hati para pengundi untuk kembali mengundi BN dan memberikan kemenangan kepada kita maka semua itu akan dilaksanakan sebagai kesinambungan program-program ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Salam Agrikomoditi Madani di Dataran Melang, Kuala Pilah, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, berdasarkan tawaran yang diketengahkan, BN yakin Negeri Sembilan mampu mencatat pertumbuhan ekonomi yang melebihi purata pertumbuhan ekonomi negara.

“Saya fikir tawaran dalam Manifesto BN adalah praktikal dan yang terbaik kerana asasnya telah tersedia serta mampu dilaksanakan.

“Saya yakin Negeri Sembilan akan mencapai pertumbuhan ekonomi yang melebihi purata pertumbuhan ekonomi negara, insya-Allah,” katanya.

Semalam, BN mengumumkan 88 usaha berpandukan sembilan teras utama sebagai manifestonya sempena PRN Negeri Sembilan.

Manifesto tersebut ditambah dengan 15 inisiatif Skim Salam Sejahtera, selain penubuhan satu Unit Penyelerasan Pemantauan Pelaksanaan Manifesto sekiranya gabungan itu diberi mandat membentuk Kerajaan Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.

Antara sembilan teras utama tersebut melibatkan teras pertama iaitu ekonomi dan pembangunan, seterusnya memfokuskan taraf hidup, kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan pendidikan moral insan, belia, wanita dan keusahawanan.

Seterusnya, enam teras lain melibatkan pertanian, agromakanan, pembangunan desa dan Felda, kelima memfokuskan kediaman dan perumahan serta alam sekitar dan pelancongan.

Manakala teras ketujuh memfokuskan agama, adat budaya, seterusnya warisan dan masyarakat Orang Asli.

Sementara teras kelapan memfokuskan sukan, rekreasi dan perpaduan serta teras terakhir melibatkan penyampaian perkhidmatan. – UTUSAN

The post Manifesto BN mampu pacu ekonomi Negeri Sembilan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved