Manifesto BN realistik, ikut kemampuan urus tadbir, kewangan negara: Mahdzir

Politics
8 Nov 2022 • 5:40 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA NERANG: Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dirangka secara realistik dengan mengambil kira semua aspek termasuk kemampuan tadbir urus dan kewangan negara, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mahdzir Khalid (gambar).

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata BN mempersembahkan perkara praktikal untuk dilaksanakan dan bukannya menjanjikan ‘bulan dan bintang’ seperti pihak lain.

“BN pergi ke arah yang praktikal dan tidak perlu merepek-repek,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu Mahdzir berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai strategi jangka pendek dan panjang bagi pekebun kecil getah iaitu mengenai harga lantai getah dan jumlah hari menoreh semasa musim tengkujuh.

“Bagi jangka masa pendek, dalam Bajet 2023 bantuan musim tengkujuh dinaikkan kepada RM800 berbanding RM600 sebelum ini,“ katanya.

Bagi jangka masa panjang pula, katanya satu jawatakuasa ditubuhkan antara Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Kementerian Perusahaan Peladangan dan Komoditi dimana dua agensi itu akan bekerjasama mencari formula harga lantai getah agar harganya lebih tinggi berbanding sekarang.-Bernama