Manifesto BN untuk BN, dilaksana jika diberi mandat bentuk kerajaan negeri

LocalPolitics
29 Jul 2026 • 10:27 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Manifesto BN untuk BN, dilaksana jika diberi mandat bentuk kerajaan negeri

PORT DICKSON: Manifesto Barisan Nasional (BN) akan terus menjadi panduan utama sekiranya gabungan itu diberi mandat membentuk kerajaan negeri bersama Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN dan PN tidak mempunyai sebarang perjanjian atau kerjasama rasmi, sebaliknya hubungan kedua-dua gabungan itu hanya berasaskan persefahaman politik.

Katanya, manifesto BN akan dilaksanakan sekiranya gabungan itu diberi mandat oleh rakyat, manakala perkara yang terkandung dalam manifesto rakan kerjasama akan dipertimbangkan dan diselaraskan mengikut kesesuaian.

“Ya, kita tidak ada perjanjian, kita tidak ada kerjasama secara rasmi, kita cuma ada persefahaman.

“Ertinya manifesto BN adalah untuk BN dan kita akan laksanakan jika mandat dapat diberikan semula nanti.

“Dan tentunya kita akan rangkul sekali apa yang tersurat dan tersirat daripada rakan-rakan yang lain.

“Dan saya fikir tidak ada sebarang permasalahan yang timbul jika pelaksanaannya dibuat kerana kita mencakupi semua lapisan masyarakat di Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Ceramah Umum BN DUN Chuah hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempersoalkan manifesto mana akan digunakan sekiranya BN dan PN membentuk kerajaan negeri selepas PRN Negeri Sembilan.

Semalam, ketika berkempen di Linggi, Muhyiddin mempersoalkan bagaimana dua manifesto berasingan boleh dilaksanakan secara serentak serta menyifatkan keadaan itu boleh menimbulkan persoalan terhadap kredibiliti kerjasama antara kedua-dua gabungan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyifatkan hubungan antara BN dan PN sebagai kerjasama yang saling melengkapi serta yakin kedua-dua gabungan itu mampu bergerak seiring tanpa perbezaan yang boleh menjejaskan pentadbiran.-UTUSAN

The post Manifesto BN untuk BN, dilaksana jika diberi mandat bentuk kerajaan negeri appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved