Manifesto PH Labuan bakal dilancar, fokus kesejahteraan rakyat

LocalPolitics
6 Nov 2022 • 8:02 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

LABUAN: Manifesto Pakatan Harapan (PH) khusus untuk Labuan bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dilancar minggu depan, kata calon PH Datuk Dr Ramli Tahir.

Ketua Bahagian Amanah Labuan itu berkata manifesto berkenaan memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat di pulau bebas cukai ini dan memperjuangkan isu-isu yang membelenggu masyarakat serta komuniti peniaga.

“Manifesto PH untuk Labuan ini tidak menjanjikan bulan dan bintang yang memang tidak boleh dicapai, tetapi manifesto yang dilancarkan ini akan mengetengahkan isu-isu dan ada cadangan kepada solusi.

“Manifesto ini sekiranya dilaksanakan akan membawa kepada kesejahteraan rakyat, ini kerana isu-isu ini telah cukup lama membebankan rakyat Labuan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di bilik gerakan PH di sini hari ini.

Dr Ramli berkata kandungan manifesto PH Labuan itu akan turut menyentuh isu yang sekian lama membelenggu masyarakat di sini seperti krisis air dan gangguan bekalan makanan.

“Manifesto ini tidak menjurus kepada menyalahi sesiapa kepada apa yang kurang di Labuan ini, atau mencari kesalahan sesiapa terhadap krisis air berlarutan dan gangguan bekalan makanan berpanjangan, tetapi adalah manifesto kepada jalan penyelesaian isu rakyat,” katanya.

Beliau berkata isu berhubung penguatkuasaan pemeriksaan Imigresen di Terminal Feri Ro-Ro Labuan juga akan diketengahkan ketika kempen, susulan terdapat pihak mendakwa langkah itu berunsur politik serta menyusahkan pengguna.

Dr Ramli berdepan lima pencabar iaitu penyandang, Ketua Bahagian Parti Warisan Labuan Datuk Rozman Isli; Datuk Bashir Alias (Barisan Nasional-Umno); Suhaili Abdul Rahman (Perikatan Nasional-Bersatu); Dayang Rusimah @ Raynie Datuk Mohd Din daripada Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Datuk Seri Ramle Mat Daly (Gerakan Tanah Air-Pejuang).

Labuan kini mempunyai 44, 484 pengundi berbanding 28,356 pada PRU14.-Bernama