Manifesto Tak Realistik, Parti Bersama Wajar Dibubar Selepas PRN Melaka – Penganalisis

LocalPolitics
11 Nov 2026 • 10:10 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Manifesto Tak Realistik, Parti Bersama Wajar Dibubar Selepas PRN Melaka – Penganalisis

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini.

Pada ketika ini, dapat dilihat calon dari pelbagai parti politik giat ‘mempromosikan’ manifesto masing-masing bagi memenangi hati pengundi.

Manifesto Parti Bersama Tak Realistik, Ulangi Pendekatan Reformasi Teras Perjuangan PH

Terbaharu, penganalisis berpendapat manifesto Parti Bersama di bawah pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli boleh dipersoalkan khususnya dari segi keaslian idea, kredibiliti politik dan realistik dari segi pelaksanaan.

Menurut Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) di Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mashitah Mohd Udin, jika dibandingkan bersama manifesto Barisan Nasional (BN)-Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH), beberapa gagasan yang diketengahkan oleh parti itu dilihat seolah-olah mengulangi pendekatan reformasi yang telah sekian lama menjadi teras perjuangan PH.

“Persoalannya, apakah nilai tambah atau pembaharuan sebenar yang ditawarkan sehingga memerlukan satu platform politik baharu?

“Lebih menarik, sebahagian agenda reformasi tersebut sebenarnya pernah menjadi sebahagian daripada tanggungjawab politik Rafizi ketika beliau berada dalam Kabinet Kerajaan Madani,” katanya.

Parti Bersama Wajar Dibubar Selepas PRN Melaka, Ceramah Kurang Dapat Sambutan

Jelas Mashitah, parti yang juga dikenali sebagai Parti Kancil itu wajar dibubarkan selepas PRN Melaka lebih-lebih apabila melihat kepada situasi siri ceramah yang kurang mendapat sambutan.

Tambahnya, masyarakat juga berhak mempersoalkan mengapa manifesto yang sama kembali diketengahkan sebagai tawaran politik baharu walhal peluang untuk melaksanakannya pernah wujud sebelum itu.

“Dalam politik, manifesto bukan sekadar himpunan janji atau slogan yang mampu menarik perhatian rakyat. Ia perlu disokong dengan perancangan yang jelas, kemampuan kewangan, tempoh pelaksanaan serta mekanisme untuk memastikan setiap janji dapat direalisasikan.

“Justeru, manifesto Parti Kancil perlu dinilai berdasarkan kemampuan menawarkan penyelesaian yang konkrit, bukannya sekadar menjual semula idea reformasi dalam pembungkusan politik yang berbeza,” tegasnya.

Manifesto Parti Bersama Ibarat ‘Tong Kosong’ & Tak Realistik

Perkara sama turut disuarakan oleh Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Kolej Undang-Undang, Kerajaan & Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Misrinah Misban sebelum ini.

Jelasnya, antara ketiga-tiga manifesto yang dilancarkan oleh BN-PN, PH serta Bersama, dokumen dari parti pimpinan Rafizi dilihat sebagai ‘tong kosong’ dan tak realistik.

Misrinah berpendapat, manifesto yang dilancarkan meniru konsep reformasi yang dibawa oleh PH dan bakal dilaksanakan oleh seorang menteri yang gagal melaksanakan usaha itu ketika beliau berada dalam kabinet sebelum ini.

“Mungkin tampak indah daripada segi luarannya kerana ada elemen-elemen reformasi dan demokrasi tetapi akan berdepan masalah dari segi pelaksanaannya kerana ia diterajui oleh pemimpinnya yang mempunyai rekod gagal untuk melaksanakan reformasi dalam Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

“Ia tempang kerana sekiranya menang sekalipun, wakil-wakil rakyat parti Kancil tiada pengalaman dalam pentadbiran kerajaan negeri dan tidak mampu untuk menyakinkan rakyat terutama pengundi Melaka untuk memberi kepercayaan kepada manifesto tersebut.

“Lebih daripada itu, kemampuan calon PH untuk melancarkan manifesto mereka lebih realistik kerana mendapat dukungan dari Kerajaan Persekutuan manakala BN-PN juga mempunyai potensi untuk menang tetapi parti Kancil dalam keadaan sebaliknya,” katanya.

Yakin Manifesto Di Bawa Parti Bersama Tidak Akan Dapat Perhatian Rakyat Melaka

Tambah Misrinah lagi, pihaknya yakin bahawa manifesto di bawah parti itu tidak akan mendapat perhatian rakyat Melaka.

Ini kerana dia berpendapat parti tersebut gagal mendapat sambutan yang menggalakkan ketika ceramah-ceramah trak Kancil diadakan.

“Di media sosial pula, lebih banyak kandungan politik pula lebih terarah kepada kempen-kempen yang dijalankan oleh PH sebagai kerajaan Persekutuan manakala gandingan BN dan PN juga dilihat giat dalam kempen media sosial berbanding dahulu,” jelasnya.

Sebelum ini, Rafizi yang merupakan bekas Ahli Parlimen Pandan telah melancarkan Manifesto Kancil yang mewakili parti dibawah pimpinannya itu pada 2 November lalu.

Menerusi dokumen setebal 23 muka surat, parti Bersama menjanjikan reformasi tadbir urus dan pentadbiran menjadi manifesto yang mencadangkan perubahan besar terhadap struktur pentadbiran serta sistem demokrasi negeri.

Antara perkara dicadangkan adalah sistem perwakilan berkadar yang membolehkan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan dibuat berdasarka undi keseluruhan dalam PRN.

Malah, Parti Kancil itu juga mahu merasionalisasikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi negeri dengan mengehadkan jumlah menjadi 30 untuk membendung kemungkinan ketirisan.

Bagi manifesto di bawah Pengukuhan Program Ekonomi SosioEkonomi Rakyat pula, sebanyak lima inisiatif telah digariskan antaranya seperti cadangan sekurang-kurangnya 30% daripada perbelanjaan kerajaan negeri disalurkan secara langsung untuk program sosioekonomi rakyat.

Baca Artikel Berkaitan: PRN Melaka: Calon BERSAMA Dakwa Bendera Parti Dibakar, Gesa Ambil Tindakan Terhadap Individu Lakukan Khianat [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Rafizi & Nik Nazmi Ambil Alih Parti Bersama Malaysia, Umum Kosongkan Kerusi Parlimen Pandan Serta Setiawangsa

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved