Manisan Cita Rasa Malaysia Daripada Elevete Patisserie, Kek Milo Tabur Pun Ada! 

LocalFood
27 Aug 2022 • 12:02 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Edwin Chan bersama Merdeka Macarons dan hidangan istimewa Elevete Patisserie sempena Hari Kebangsaan ini. - Gambar oleh Nooreeza Hashim

Sepanjang tempoh dua tahun lalu, kita telah menyaksikan warga Malaysia bersatu hati menyokong antara satu sama lain, daripada membantu mereka yang terjejas dengan wabak COVID-19 sehinggalah kepada membantu mangsa banjir kilat.

Masing-masing tidak pernah jemu menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. 

Jika difikir-fikirkan, ada banyak perkara yang menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama. Salah satu daripadanya adalah melalui makanan.

Nasi lemak, roti canai, teh tarik, nasi ayam, kari kepala ikan, antara menu yang menjadi kegemaran ramai. 

Hidangan ini adalah hak milik orang Malaysia, bukan terikat kepada satu kaum semata-mata. Bahkan, ada banyak lagi makanan unik yang melambangkan cita rasa rakyat Malaysia.  

Sempena meraikan kedua-dua hari istimewa Malaysia tahun ini, Elevete Patisserie telah menghasilkan koleksi unik dan lazat yang diilhamkan daripada semua perkara yang digemari pencinta makanan Malaysia.

Ia dinamakan ‘The Merdeka’ dan ‘Malaysia Day Collection’. 

Koleksi ini tersedia untuk waktu terhad, iaitu mulai 15 Ogos hingga 17 September 2022 dan hanya boleh ditempah melalui laman web rasmi Elevete Patisserie.

image is not available
Merdeka Macarons

Terdapat tiga pemanis mulut istimewa yang disediakan untuk koleksi ini, iaitu Kek Milo Dinosaur, Merdeka Macarons, dan yang paling unik di antara kesemuanya ialah, Fatcarons Citarasa Malaysia. 

image is not available
Fatcarons Citarasa Malaysia

Melihat kepada penampilan pemanis mulut ini sahaja sudah membuatkan anda kecur liur. Dari mata turun ke hati! 

image is not available
Kek Milo Dinosaur

Pengasas dan Ketua Chef Elevete Patisserie, Edwin Chan memberitahu, setiap tahun pihaknya tidak pernah lupa menampilkan koleksi istimewa bagi meraikan hari-hari istimewa itu bersama rakyat Malaysia.

image is not available
Edwin Chan

“Tahun ini kami menampilkan Kek Milo Dinosaur kerana cita rasa ini cukup dekat di hati rakyat Malaysia sehinggakan ada minuman yang menggunakan nama yang sama. Kek unik ini mempunyai kelainan di mana ia sebenarnya tidak dibakar.

''Timbunan Milo di permukaannya boleh membuatkan anda tersenyum kerana ia membawa anda mengimbau kembali detik-detik manis di zaman kanak-kanak. Zaman di mana kita semua seronok menikmati segelas Milo ais atau Milo Kaw bersama keluarga!

“Selain itu, kami juga teruja memperkenalkan Fatcarons nasi lemak yang lengkap dengan sambal, ikan bilis dan kacang. Untuk menghasilkan perisa nasi lemak ini bukanlah sesuatu yang mudah, tapi percayalah anda tidak akan kecewa,” ujar Chef Edwin.

image is not available
Edwin mengajar pengamal media kaedah menghasilkan macaron dan fatcaron.

Ketika sesi minum petang yang diadakan baru-baru ini, Chef Edwin turut meluangkan masa mengajar pihak media cara-cara untuk menghasilkan macaron dan fatcaron yang merupakan produk ‘best-seller’ Elevete Patisserie.

Ternyata ia tidaklah semudah yang disangkakan. Teknik mestilah tepat jika mahu macaron dan fatcaron tampil cantik dan enak dimakan.

Jika ingin tahu bagaimana rasanya fatcaron nasi lemak, jangan lengah-lengah lagi untuk buat tempahan di Elevete Patisserie. Raikan hari merdeka dan hari Malaysia dengan penuh ‘kemanisan’. - Getaran, 27 Ogos 2022