Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi telah meluluskan dasar baharu pengambilan secara tetap tidak berpencen bagi penjawat awam.
Dasar ini juga menetapkan kumpulan penjawat awam itu akan mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Bagaimanapun, dasar yang diperkenalkan itu menimbulkan persepsi ramai sehinggakan ada yang meminta perkara berkenaan juga disemak untuk wakil rakyat.
Susulan itu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika ditanya media perkara tersebut menjelaskan cadangan skim berkenaan juga terpakai untuk ahli politik berjawatan termasuk wakil rakyat.
Perdana menteri berkata, secara prinsipnya kerajaan bersetuju dengan keputusan berhubung pemansuhan pencen kakitangan awam.
“Kalau kita mula pada 1 Feb 2024, semua kemasukan baharu itu tidak berpencen, maka itu juga sama untuk semua pelantikan baharu (termasuk) ahli politik.
“Jadi ada orang kata mengapa tidak (ahli politik), tidak soal lain ada yang pernah jadi menteri besar, jadi menteri, kemudian jadi timbalan perdana menteri.
“Itu menunjukkan Perlembagaan kita boleh kaji tapi tak boleh kebelakangkan retrospektif,” katanya.
Perlukan perubahan
Jelas beliau lagi, sistem pentadbiran mana-mana negara memerlukan perubahan termasuk Malaysia.
Tetapi, perubahan ingin dilakukan kerajaan perlu didahului cadangan serta perbincangan, termasuk pemansuhan pencen sebelum ia dimuktamadkan.
“Kita boleh kaji dulu. Pada prinsipnya, saya bersetuju supaya apa saja keputusan yang dibuat untuk perkhidmatan awam terpakai bagi pelantikan politik. Tetapi dimuktamadkan selepas kajian dan dibawa ke Jemaah Menteri untuk diputuskan,” katanya.
Sumber: Free Malaysia Today
The post ‘Mansuh pencen tidak hanya tertakluk pada penjawat awam baharu, tapi juga untuk pelantikan ahli politik’ – Anwar Ibrahim appeared first on The Reporter.


