
KUALA LUMPUR - Mantan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad, 61, meninggal dunia kira-kira jam 3 pagi tadi.
Allahyarham yang juga Ketua Bahagian UMNO Langkawi meninggal dunia semasa urusan kerja sebagai Ahli Lembaga Pengarah TNB di Frankfurt, Jerman.
Perkara itu disahkan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Nor Saidi Nanyan menerusi satu hantaran di Facebook.
“Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un, Al-Fatihah buat arwah Datuk Nawawi Ahmad yang telah kembali ke rahmatullah awal pagi tadi di Jerman.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solehin. Takziah kepada keluarga arwah. Turut berduka cita,” katanya.
Menurut Nor Saidi, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Jerman.
Allahyarham memiliki pengalaman luas dalam bidang politik dan pernah berkhidmat selama sepenggal sebagai Ahli Parlimen Langkawi mulai 2013 hingga 2018.
Beliau turut berkhidmat selama dua penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah antara 2004 hingga 2013.
Bagaimanapun pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), beliau tewas kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di kerusi Parlimen Langkawi. - Getaran, 28 November 2022

