
KUALA LUMPUR - Mantan Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman meninggal dunia di Hospital UiTM Puncak Alam, awal pagi ini.
Berita pemergian beliau dimaklumkan isterinya, Siti Hawa Samsam.
Ahmad Lutfi dimaklumkan meninggal dunia pada hari lahirnya yang ke-59.
“Dukacita dimaklumkan suami, Ahmad Lutfi Othman kembali ke rahmatullah pada pukul 2.10 minit pagi tadi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Susulan perkhabaran itu, beberapa pemimpin politik mengucapkan takziah kepada keluarga beliau, antaranya Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu.
Mohamad berkata, pemergian Ahmad Lutfi adalah kehilangan besar kepada parti tersebut.
“Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Ahmad Lutfi. Almarhum kembali ke rahmatullah di hari kelahirannya yang ke-59 dan pada hari Arafah. Kehilangan besar kepada AMANAH.
“Semoga Allah mencucuri rahmat atas rohnya dan mengurniakan syurga tertinggi buatnya, mengampunkan segala dosa serta khilafnya, selain diterima semua amal ketaatan dan kebaikannya sepanjang hayatnya yang penuh dengan kebaikan,” katanya.
Sepanjang kerjayanya sebagai wartawan, Ahmad Lutfi pernah menerajui Harakah sebanyak dua kali dan menulis buku politik, antaranya Lorong Sunyi Media Bebas.
Sementara itu, pemimpin PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan Ahmad Lutfi sebagai editor dan penulis yang banyak berjasa sepanjang perjuangan reformasi.
Saifuddin Nasution berkata, Ahmad Lutfi adalah sahabatnya ketika zaman belajar pada tahun 1980-an.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan insan disayangiNya. Amin,” katanya. - Getaran, 9 Julai 2022


