
KISAH seram yang dikaitkan dengan sesuatu kaum, terutama sekali di negeri seperti Sabah agak jarang dipaparkan. Apatah lagi kisah-kisah yang amat berkait rapat dengan amalan kuno dan masih lagi diamalkan sehingga sekarang.
Itu antara yang dipaparkan dalam filem Mantera, sebuah kisah tentang tradisi lama amalan ritual yang dilakukan oleh ‘Bobolian’ (bomoh) yang begitu sinonim dalam kalangan kaum Dusun terbitan syarikat Pro Merge Vision Sdn. Bhd.
Pengarah Chester Pang berkata Mantera adalah inspirasi daripada kisah ‘Bobolian’ dan dia berasa terpanggil untuk berkongsi dengan orang ramai tentang kewujudan amalan tradisi lama kaum Dusun di Sabah yang kini sudah jarang diamalkan.
“Boleh dikatakan tidak ramai mengetahui tentang tradisi lama amalan ritual yang dilakukan oleh ‘Bobolian’ sebagai ketua adat serta menjadi perantara dan pengimbang antara dua alam iaitu alam nyata (manusia) dan ‘kinohiringan’ (dewa).



