Manusia punca utama kebakaran hutan

LocalEnvironment
29 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Manusia punca utama kebakaran hutan

KEBAKARAN hutan dan tanah di Indonesia kembali menjadi perhatian apabila ribuan kejadian kebakaran dilaporkan berlaku sepanjang tahun ini, khususnya di Sumatera dan Kalimantan.

Selain memusnahkan kawasan hutan serta tanaman, kebakaran tersebut turut menghasilkan asap tebal yang merentasi sempadan sehingga menjejaskan kualiti udara di negara jiran termasuk Malaysia, Singapura dan Filipina.

Laporan terbaharu Channel NewsAsia (CNA) menunjukkan bahawa usaha menangani masalah itu kini bukan sekadar bergantung kepada pemadaman api, sebaliknya memerlukan pemantauan, penguatkuasaan dan pengurusan tanah yang lebih berkesan.

Di Sumatera Selatan misalnya, kebakaran yang berlaku berhampiran kawasan pertanian dan penempatan menunjukkan betapa pantas api boleh merebak apabila keadaan persekitaran kering.

“Lebih 200,000 hektar kawasan di Indonesia telah terbakar antara Januari hingga Julai 2026 iaitu 69 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Keadaan cuaca panas dan kering yang dipengaruhi fenomena El Nino turut menjadikan tumbuh-tumbuhan lebih mudah terbakar,” lapor CNA.

Namun, cuaca bukan satu-satunya faktor. Ketua Agensi Mitigasi Bencana Indonesia, Suharyanto memberitahu, faktor manusia menjadi punca utama kebakaran, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.

Pembakaran terbuka untuk membersihkan kawasan pertanian, pembakaran sampah dan amalan pembukaan tanah menggunakan api antara aktiviti yang boleh mencetuskan kebakaran.

Apabila dilakukan dalam keadaan kering dan berangin, api kecil boleh merebak ke kawasan lebih luas.

“Situasi itu memperlihatkan kepentingan teknologi pemantauan dalam mengenal pasti kebakaran seawal mungkin. Data titik panas daripada pemantauan satelit boleh digunakan untuk mengesan lokasi yang berisiko dan membantu pihak berkuasa menentukan kawasan yang memerlukan tindakan segera.

“Sehingga 21 September lalu, lebih 22,000 titik panas dikesan di seluruh Indonesia dengan tumpuan utama di beberapa kawasan Kalimantan dan Sumatera,” kongsi Suharyanto.

Katanya lagi, di lapangan pula, pendekatan pemantauan berasaskan komuniti turut memainkan peranan. Rondaan dilakukan bagi mengesan tanda-tanda kebakaran dan menghalang aktiviti pembakaran daripada berkembang menjadi bencana lebih besar.

Kaedah ini penting kerana teknologi satelit boleh mengesan lokasi kebakaran dari udara, manakala komuniti setempat mempunyai pengetahuan mengenai keadaan sebenar di kawasan masing-masing.

Teknologi juga digunakan secara langsung untuk memadam kebakaran. Indonesia mengerahkan puluhan pesawat bagi operasi pengeboman air dan pengubahsuaian cuaca.

Image from: Manusia punca utama kebakaran hutan
Operasi pengeboman air antara usaha yang dilakukan untuk memadam kebakaran hutan di Indonesia.

“Bagaimanapun, operasi udara berdepan cabaran seperti jarak penglihatan yang rendah akibat asap tebal serta kekurangan sumber air berhampiran lokasi kebakaran.

“Kerjasama antarabangsa turut dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan pemadaman dari udara,” ujar Suharyanto.

Bagaimanapun, usaha memadam api selepas kebakaran berlaku tidak semestinya menyelesaikan masalah pada akar umbi.

Pakar sains alam sekitar Universiti Indonesia, Mahawan Karuniasa berkata, isu utama bukan sekadar seketat mana peraturan ditetapkan tetapi sejauh mana dikuatkuasakan secara konsisten dan sama ada masyarakat mempunyai alternatif yang praktikal.

“Kos menjadi antara faktor yang mendorong sebahagian petani memilih kaedah pembakaran. Membersihkan tanah tanpa menggunakan api memerlukan tenaga kerja, mesin dan pengangkutan, dengan kos yang boleh mencecah antara 10 juta (RM2,270) hingga 20 juta rupiah (RM4,550) bagi setiap hektar bergantung kepada keadaan kawasan. Sebaliknya, pembakaran dilihat sebagai kaedah lebih murah dan pantas.

“Atas sebab itu, teknologi seperti mesin pencincang sisa tumbuhan, jentera pembersihan tanah dan peralatan pertanian boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian,” jelasnya.

Dalam laporan CNA, terdapat kumpulan petani yang berkongsi penggunaan jengkaut mini, traktor dan mesin pencincang kayu bagi mengurangkan kos pembersihan tanah tanpa membakar.

Pendekatan sebegini menunjukkan bahawa teknologi tidak semestinya berbentuk sistem berteknologi tinggi, sebaliknya peralatan mekanikal yang mudah dicapai juga boleh membantu mengubah amalan di lapangan.

Pengurusan sampah juga perlu diberi perhatian. Pembakaran sampah secara terbuka masih berlaku di kawasan yang tidak mempunyai perkhidmatan kutipan sisa yang mencukupi.

Tambah Mahawan, penyelesaian termasuk pengasingan sampah, pengkomposan dan kemudahan pemprosesan sisa perlu diperkasa.

Katanya, larangan semata-mata tidak mencukupi jika alternatif yang lebih murah dan mudah dicapai tidak disediakan.

“Dalam masa sama, penguatkuasaan boleh diperkukuh melalui gabungan data, pemantauan udara dan maklumat lapangan.

“Setakat 16 September, polis Indonesia telah mengenal pasti 162 suspek berkaitan 219 kes kebakaran, manakala 26 syarikat dikenakan penggantungan permit dan 95 lagi masih dalam siasatan,” kongsinya.

Masalah kebakaran hutan akhirnya bukan sekadar isu api, tetapi berkait rapat dengan cara tanah diurus, aktiviti pertanian, pengurusan sampah, perubahan cuaca dan penguatkuasaan.

Teknologi boleh membantu mengesan, memantau dan memadam kebakaran dengan lebih pantas tetapi keberkesanannya bergantung kepada tindakan manusia di lapangan.

The post Manusia punca utama kebakaran hutan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved