MAPIM gesa kerajaan jelaskan asas larangan Waze

LocalPolitics
21 Oct 2026 • 10:05 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: MAPIM gesa kerajaan jelaskan asas larangan Waze

PETALING JAYA: Kerajaan digesa menjelaskan asas keselamatan dan pertimbangan dasar di sebalik keputusan melarang penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam bagi memastikan tindakan itu dibuat berdasarkan penilaian risiko yang kukuh.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya menyambut baik keputusan kerajaan itu, namun penjelasan rasmi perlu diberikan supaya ia tidak dilihat sebagai tindakan simbolik semata-mata.

Menurutnya, kerajaan perlu menjelaskan sama ada larangan berkenaan berpunca daripada faktor keselamatan siber, pemilikan korporat, dasar berkaitan Palestin atau gabungan faktor tersebut.

“Penjelasan tersebut penting supaya keputusan ini difahami sebagai langkah perlindungan kepentingan negara yang berasaskan bukti, bukannya tindakan simbolik yang terpisah daripada suatu kerangka keselamatan digital yang menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Azmi berkata, penggunaan aplikasi digital khususnya dalam kalangan penjawat awam yang mempunyai akses kepada maklumat sensitif perlu dinilai berdasarkan keselamatan data, pemilikan korporat, bidang kuasa undang-undang dan amalan perkongsian maklumat.

Katanya, asal usul sesebuah syarikat tidak semestinya membuktikan bahawa produknya menyalurkan maklumat kepada kerajaan tertentu atau terlibat dalam kegiatan yang menjejaskan keselamatan negara.

Bagaimanapun, beliau berkata, pemilikan korporat dan bidang kuasa undang-undang tetap merupakan faktor yang wajar diambil kira dalam penilaian risiko keselamatan.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, kerajaan memutuskan untuk melarang penggunaan aplikasi navigasi Waze yang berpangkalan di Israel dalam kalangan anggota perkhidmatan awam berkuat kuasa serta-merta.

Arahan itu dibuat menerusi satu pemakluman rasmi yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar semalam susulan keputusan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Mohd. Azmi berkata, kerajaan juga perlu memperluas penilaian risiko kepada semua aplikasi dan platform digital yang digunakan dalam urusan rasmi perkhidmatan awam.

Katanya, penilaian itu perlu merangkumi aplikasi komunikasi, penyimpanan awan, kecerdasan buatan (AI) dan perkhidmatan digital lain yang berpotensi mengendalikan maklumat sensitif.

“Jika keselamatan data menjadi asas utama larangan Waze, prinsip yang sama hendaklah diterapkan kepada semua penyedia perkhidmatan digital tanpa mengira negara asal, jenama atau kepentingan komersial mereka,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan menyediakan garis panduan penggunaan aplikasi alternatif yang selamat selain memperkukuh pembangunan teknologi tempatan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap penyedia perkhidmatan asing.

“Malaysia mesti bergerak ke arah kedaulatan digital yang sebenar, dengan kemampuan menilai teknologi secara bebas, melindungi data rakyat, membina alternatif yang berdaya saing dan memastikan keputusan kerajaan sentiasa berpaksikan kepentingan awam,” katanya. – UTUSAN

The post MAPIM gesa kerajaan jelaskan asas larangan Waze appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved