MAPIM, MYAD bekerjasama bina kediaman mangsa perang di Palestin

14 Dec 2022 • 4:43 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

BANGI: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) hari ini menandatangani memorandum perjanjian (MoA) untuk membangunkan perumahan pangsapuri wakaf yang bakal menempatkan lebih 500 orang daripada 100 keluarga mangsa perang di Palestin.

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby (gambar) berkata sebanyak 100 unit kediaman tiga bilik dan 12 unit komersial akan dibangunkan di Khan Younis, Gaza menerusi kerjasama dengan Pertubuhan Pembela Al-Aqsa atau lebih dikenali sebagai MyAqsa Defenders (MyAD).

Beliau berkata pembinaan pertama seupamanya dari Malaysia itu bertujuan membantu sebahagian daripada 120,000 rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal akibat perang di sana.

“Bantuan ini merupakan satu bukti manifestasi anak-anak muda dan rakyat Malaysia dalam menzahirkan keprihatinan yang tidak berbelah bahagi.

“Dengan adanya projek sebegini, bukan sahaja kita dapat memberi sinar baharu kepada mangsa perang tetapi kita juga dapat membuka peluang ekonomi dengan membuka pusat perniagaan dan melibatkan mereka dalam proses pembinaan perumahan ini,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menandatangani MoA pembinaan projek berkenaan di Wisma MAPIM, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Ahmad Sani mewakili MAPIM manakala MyAD diwakili Pengerusi Ahli Tertingginya Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Ahmad Sani berkata projek tersebut yang dijangka menelan kos sebanyak RM8 juta dibiayai melalui pendanaan ramai yang dilaksanakan MAPIM dan MyAD.

“Pihak MAPIM menaja RM6 juta dan RM2 juta lagi disumbangkan oleh MyAD. Projek ini akan dijalankan dengan kerjasama tiga kementerian di Gaza iaitu Kementerian Wakaf, Kementerian Kerja Raya dan Perumahan dan Kementerian Luar Negeri mereka,“ katanya.

Beliau berkata projek itu akan memulakan pembinaan Februari tahun depan selepas proses tender terbuka dan dijangka siap pada Jun 2024.

Dalam pada itu, Ahmad Sani berkata MAPIM akan terus melaksanakan pelbagai projek strategik di seluruh dunia dan menyasarkan RM20 juta dapat disalurkan untuk tujuan tersebut tahun hadapan.

“Jika dilihat sejak 2009 hingga tahun ini, MAPIM telah menyalurkan sebanyak RM120 juta untuk 81 projek utama di seluruh dunia seperti membina sekolah, masjid, hospital dan klinik,“ katanya.-Bernama