MAPIM sertai Persidangan NGO Antarabangsa di Dubai

10 Mar 2023 • 7:40 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) akan menyertai Persidangan Bantuan dan Pembangunan Kemanusiaan Antarabangsa Dubai (DIHAD 2023) di Pusat Dagangan Dunia Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 13 hingga 15 Mac ini.

MAPIM dalam kenyataan hari ini memaklumkan persidangan edisi ke-19 itu bertemakan 'Tenaga dan Bantuan: memanfaatkan sumber yang ada'.

Menurut MAPIM, DIHAD 2023 akan menampilkan 50 pakar dalam bidang kemanusiaan, mengadakan topik perbincangan penting dalam enam sesi utama,16 bengkel inovatif bagi memberi pandangan dan latihan penting dalam bidang tenaga serta bantuan.

“MAPIM merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpangkalan di Malaysia yang memberi tumpuan kepada bantuan kemanusiaan, pengumpulan dana, pengurusan bencana dengan kepentingan tempatan dan antarabangsa,“ menurut kenyataan itu.

Persidangan tiga hari itu diadakan di bawah naungan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE dan Pemerintah Dubai Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.

Lebih 8,200 peserta dari 110 negara termasuk 828 NGO dijangka menghadiri DIHAD 2023 yang menghimpunkan NGO terkemuka, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, pertubuhan amal dan badan kerajaan.

“DIHAD 2023 turut disokong oleh Jabatan Hal Ehwal Islam dan Aktiviti Amal, Liga Muslim Dunia, Amanah Kebajikan Al Mustafa serta banyak lagi,“ menurut kenyataan itu. -Bernama