Cubaan membawa masuk tin sardin dari China yang mengandungi cacing parasit Anisakis sp berjaya dipatahkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Negeri Johor.
Menurut pengarah Maqis Negeri Johor, penemuan cacing parasit bermula selepas pihaknya menyita lori yang membawa muatan sardin.
Jumlah keselurahan dianggarkan bernilai RM83,879.84 yang diimport dari Singapura melalui pintu masuk negara di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), dekat sini, pada awal bulan ini.
Tanpa permit import
Tindakan sitaan terhadap lori itu dibuat berikutan sardin dalam tin itu diimport tanpa permit import daripada Maqis. Susulan itu, anggota Maqis membuat pemeriksaan lanjut secara fizikal dan mendapti ada kehadiran bendasing dalam tin sardin berkenaan.
“Beberapa sampel tin sardin kemudian telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis lanjut sebelum bendasing itu disahkan sebagai cacing parasit Anisakis sp,” katanya.
Kes berkenaan katanya dikategorikan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
“Tindakan mengimport barangan yang mengandungi perosak, penyakit atau bahan cemar yang berbahaya kepada pengguna dan boleh dihukum bawah akta yang sama.
“Jika sabit kesalahan, kesalahan itu boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.
Bagi menjamin keselamatan makanan negara, katanya pihak Maqis komited dalam menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara.
Sumber: Sinar Harian
The post Maqis Johor rampas sardin dalam tin dari China mengandungi cacing parasit Anisakis sp. appeared first on The Reporter.

