Maqis rampas avokado, jambu batu dari Indonesia

LocalPolitics
20 Nov 2024 • 4:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Avokado dan jambu batu yang dirampas daripada seorang wanita warga Indonesia

KOTA BHARU - Avokado dan jambu batu antara yang dirampas ketika cubaan membawa masuk hasil pertanian dari Indonesia melalui pintu masuk Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP).

Ketua Pintu Masuk Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Mohd Ariwadi Mohd Salleh berkata, rampasan dilakukan daripada seorang penumpang wanita warga Indonesia yang ditahan di balai ketibaan.

Menurut beliau, pemeriksaan di dalam beg pakaian wanita itu mendapati terdapat kira-kira 8 kilogram avokado dan jambu batu yang tidak mempunyai dokumen sah serta Sijil Perakuan Pematuhan (CoC).

"Siasatan lanjut dimaklumkan kesemua barang dagangan itu akan diberi kepada ahli keluarga," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Bagaimanapun, hasil pertanian itu dirampas untuk tindakan lanjut.

Jelas beliau, rampasan itu dilakukan ketika pemeriksaan rutin dengan kerjasama bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Tambahnya, tindakan itu bertujuan mengawal kemasukan komoditi pertanian yang berisiko termasuk kehadiran serangga perosak dan penyakit.

Mohd Ariwadi menjelaskan, jika terlepas ia boleh memberi kesan kepada industri pertanian dalam negara.

“Perbuatan mengimport produk pertanian tanpa CoC menjadi kesalahan di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 11(3), Akta sama,” katanya.