Maqis rampas daging kerbau sejuk beku bernilai RM41,000 dari India

15 Oct 2022 • 6:19 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PASIR GUDANG: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor merampas daging kerbau sejuk beku seberat 4,500 kilogram dari India bernilai kira-kira RM41,000 di Pelabuhan Pasir Gudang, Khamis lepas.

Pengarahnya Edie Putra Md Yusof berkata hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena telah menemukan sebanyak 188 kotak produk ruminan itu kerana maklumat pada sijil halal dikeluarkan negara pengeksport mengelirukan sebelum merampasnya untuk siasatan lanjut.

“Pemeriksaan awal mendapati keseluruhan dagangan tersebut menggunakan maklumat mengelirukan iaitu tarikh sembelih yang diisytiharkan berbeza seperti dalam sijil halal yang disertakan bersama.

“Penggunaan maklumat pada sijil halal dan sijil kesihatan yang tidak tepat serta mengelirukan akan disiasat mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) iaitu mana-mana orang yang memberikan maklumat yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan keluaran pertanian adalah menjadi suatu kesalahan,“ katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Edie Putra berkata jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kami sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk pelabuhan bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan, “ tambahnya. - Bernama