MARA biaya penuh pengajian dan menyediakan laluan khas kepada 87 pelajar Orang Asli yang cemerlang dalam peperiksaan SPM 2024 untuk melanjutkan pengajian di Institusi Pendidikan MARA (IPMA).
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau berharap dengan tawaran itu dapat membantu pelajar berkenaan meraih ilmu dan kemahiran supaya mereka dapat kembali menyumbang kepada pembangunan masyarakat Orang Asli kelak.
MARA biayai penuh

Untuk itu, beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) akan mengadakan satu program khas bagi menghimpunkan pelajar terbabit, supaya didedahkan dengan maklumat secukupnya mengenai peluang pengajian di peringkat tertinggi, seiring dengan minat serta potensi mereka.
“Sebagaimana yang diarahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam, MARA akan menawarkan kepada semua 87 pelajar dalam kalangan anak Orang Asli yang cemerlang mendapat 5A ke Atas dalam SPM 2024 laluan khas.
“Ia dengan pembiayaan penuh ke IPMA termasuk Kolej Profesional MARA (KPM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Institut Kemahiran MARA (IKM), Universiti Poly Tech Malaysia (UPTM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
“Bagi pelajar yang mendapat 9A pula akan ditawarkan untuk ke universiti terkemuka dalam bahkan ke luar negara di bawah Young Talent Development Programme (YTP),” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Artikel lain: MARA tanggung pengajian pelajar yatim, miskin peroleh keputusan cemerlang SPM – Asyraf Wajdi
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan MARA menawarkan biasiswa penuh kepada pelajar Orang Asli yang memperoleh sekurang-kurangnya 5A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bagi membolehkan mereka melanjutkan pengajian di Institusi Pendidikan MARA (IPMA).
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, turut mengarahkan MARA memastikan semua lepasan SPM dalam kalangan Orang Asli yang mendapat keputusan bawah 5A diberikan peluang menyambung pelajaran di mana-mana institusi pengajian di bawah agensi itu.

Beliau berkata, langkah tersebut penting untuk memastikan lebih ramai pelajar Orang Asli dapat melanjutkan pengajian di IPMA, memandangkan MARA adalah badan berkanun di bawah seliaan kementeriannya.
Pada 2024, seramai 87 daripada 1,932 pelajar Orang Asli yang menduduki SPM memperoleh keputusan 5A ke atas, sedikit menurun berbanding 88 pelajar pada tahun sebelumnya.
Sumber: FB DR ASYRAF WAJDI DUSUKI



