
PETALING JAYA – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan meluluskan kos penambahbaikan beberapa kemudahan di TVET Mara Rembau termasuk mesin jahit dan tandas bagi memastikan keselesaan pelajar sentiasa menjadi keutamaan.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau pagi tadi melakukan tinjauan ke fasiliti, bangunan akademik, bengkel latihan serta asrama pelajar bagi memastikan persekitaran pembelajaran sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Saya berinteraksi bersama pelajar mengenai beberapa penambahbaikan yang diperlukan seperti pembaikan mesin jahit dan tandas. Insya-Allah, akan diluluskan kos penambahbaikan untuk keselesaan pelajar-pelajar,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut beliau, keselesaan pelajar sentiasa menjadi keutamaan kerana suasana pembelajaran yang kondusif amat penting dalam melahirkan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang berkualiti.
Katanya, TVET Mara Rembau mempunyai program diploma yang memberi tumpuan kepada industri kreatif dan reka bentuk iaitu Diploma Filem dan Animasi Digital, Diploma Media Digital, Diploma Reka Bentuk Dalaman, Diploma Reka Bentuk Fesyen serta Diploma Reka Bentuk Perabot.
Tambah beliau, bidang-bidang itu bukan sahaja menekankan kreativiti dan kemahiran teknikal, malah memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.
“Insya-Allah, Mara akan terus memastikan institusi TVET sentiasa diperkasa dengan kemudahan terbaik agar anak-anak Bumiputera mendapat akses kepada pendidikan dan latihan yang relevan, berkualiti serta memenuhi kehendak industri masa hadapan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Mara lulus kos baik pulih mesin jahit, tandas TVET Rembau appeared first on Kosmo Digital.
