Mara Tawar Dua Beradik Yatim Piatu Jadi Anak Angkat, Asyraf Wajdi Janji Tanggung Hingga Universiti

LocalFamily & Parenting
27 Feb 2026 • 7:15 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

RAUB – Dua beradik yang terselamat dalam tragedi kebakaran meragut nyawa seluruh ahli keluarga mereka di Kampung Pamah Kulat, Jalan Ulu Dong, awal pagi tadi, kini mendapat sinar harapan baharu apabila ditawarkan sebagai anak angkat oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Pengerusi Mara, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau sendiri sempat membuat panggilan video bersama dua beradik terbabit, Ruby Balqis Mohd Alawi dan Murqam, yang kini sekelip mata kehilangan tempat bergantung.

Menurutnya, melihat wajah kedua-dua anak kecil itu yang cuba menahan tangis namun tetap berusaha untuk kuat benar-benar meruntun jiwa.

“Rumah musnah. Kasih ibu dan ayah pergi buat selama-lamanya. Begitu berat ujian anak-anak ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Janji Pendidikan Tidak Akan Terhenti

Beliau menasihatkan Ruby Balqis dan Murqam agar terus tabah menghadapi ujian besar ini dan tidak pernah merasakan diri mereka keseorangan.

“Terus kuat demi arwah ibu dan ayah. Kuat demi masa depan yang masih panjang. Insya-Allah, Mara akan pastikan pendidikan mereka tidak terhenti walau sedikit pun,” katanya.

Asyraf Wajdi turut menawarkan agar kedua-dua beradik itu dijadikan anak angkat Mara supaya kebajikan dan pelajaran mereka dipantau sepenuhnya. Malah, secara peribadi beliau turut menyatakan hasrat untuk mengambil Ruby Balqis sebagai anak angkatnya sendiri dan berjanji menanggung sepenuhnya kos pengajian sehingga tamat universiti.

“Ini janji saya. Pendidikan mereka tidak boleh terkorban kerana tragedi ini,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Yayasan Pelajaran Mara, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, Ketua UMNO Bahagian Raub Datuk Abdul Aziz Mat Kiram serta barisan kepimpinan UMNO Bahagian Raub dan Bahagian Pendidikan Menengah Mara yang pantas menghulurkan bantuan serta menyelaras tindakan segera.

Beliau turut mengarahkan Bahagian Pendidikan Menengah Mara supaya melaksanakan solat sunat jenazah ghaib di kesemua 58 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sebagai tanda solidariti dan doa buat mangsa-mangsa kebakaran.

“Marilah kita sama-sama mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” katanya.

Tragedi menyayat hati itu bukan sahaja meruntun jiwa penduduk setempat, malah turut mengundang simpati seluruh negara. Dalam duka yang tidak terungkap, sekurang-kurangnya ada sinar harapan buat dua beradik ini untuk meneruskan kehidupan dan mengejar cita-cita mereka. – The Malaysian Update

The post Mara Tawar Dua Beradik Yatim Piatu Jadi Anak Angkat, Asyraf Wajdi Janji Tanggung Hingga Universiti appeared first on The Malaysian Update.