MARA tawar pembiayaan kadet juruterbang, utamakan pelajar tahfiz aliran STEM

16 May 2026 • 5:57 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

MARA tawar pembiayaan kadet juruterbang, utamakan pelajar tahfiz aliran STEM

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan membuka tawaran pembiayaan kepada pelajar baharu yang berminat mengikuti Program Kadet Juruterbang dengan keutamaan diberikan kepada pelajar tahfiz daripada aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Pengerusi MARA Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata iklan berserta syarat-syarat kelayakan bagi tawaran pembiayaan program itu akan dikeluarkan tidak lama lagi bagi membolehkan pelajar baharu yang berminat membuat permohonan.

Image from: MARA tawar pembiayaan kadet juruterbang, utamakan pelajar tahfiz aliran STEM
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki. Foto BERNAMA

“Syarat-syarat minimum termasuklah pelajar daripada aliran STEM. Cuma kali ini walaupun tawaran dibuka kepada semua pelajar berkelayakan, namun keutamaan diberikan kepada pelajar tahfiz aliran STEM. Mereka akan melalui proses pemilihan termasuk temu duga.

“Fasa terakhir temu duga adalah dengan Pengerusi MARA sendiri untuk sesi tasmik atau tebuk hafazan al-Quran,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut berkongsi video sesi temu duga hafazan bersama seorang pelajar Muhammad Adam, yang memohon tajaan MARA di ruangan komen.

Asyraf berkata pelajar yang mahu memohon program kadet juruterbang itu juga perlu memenuhi syarat-syarat asas yang ditetapkan oleh akademi latihan penerbangan seperti Malaysia Aviation Group (MAG) dan BATS Aviation.

Beliau berkata akademi latihan penerbangan yang ditaja MARA juga perlu mempunyai perjanjian dengan syarikat penerbangan bagi menjamin peluang pekerjaan kepada pelatih yang bakal menerima pembiayaan MARA.

“Saya dan pengurusan MARA harus sentiasa memikirkan apa yang terbaik untuk mengangkat martabat generasi masa depan Melayu dan bumiputera,” katanya.

Ketika menjawab persoalan seorang warga maya sejak bila aliran tahfiz mengutamakan STEM, beliau berkata Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab sememangnya menggabungkan aliran STEM dan tahfiz selain konsep sama turut dilaksanakan di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi.

“Sebenarnya, banyak SMKA (Sekolah Menengah Kebangsaan Agama) mempunyai aliran STEM dan Tahfiz. Untuk makluman juga, 221 pelajar MRSM yang menghafaz 30 juzuk al-Quran memperoleh keputusan semua A dalam keputusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) baru-baru ini termasuk subjek STEM seperti Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved