MARC Ratings turunkan penarafan kredit dan sukuk RM3 bilion Top Glove namun semak naik prospek kepada stabil
diyana
07/03/2024 - 10:20
KUALA LUMPUR 7 Mac - MARC Ratings telah menurunkan penarafan kredit Top Glove Corp Bhd kepada AA- daripada AA dan turut menyemak turun program sukuk kekal bernilai RM3 bilion di bawah syarikat pembiayaan kumpulan, TG Excellence Bhd kepada AIS(cg) daripada A+IS(cg).
Bagaimanapun, MARC Rating telah menyemak semula prospek Top Glove daripada negatif kepada stabil, disokong kedudukan mudah tunai yang sihat dengan baki tunai RM1 bilion yang akan menyokong kewajipan operasi dan kewangan.
Agensi penarafan itu menjelaskan bahawa, semak turun tersebut mencerminkan pemulihan perniagaan dan profil kewangannya yang lebih perlahan daripada jangkaan kerana ia terus berdepan dengan masalah yang berlarutan dalam industri sarung tangan getah global akibat lebihan kapasiti dan harga jualan sarung tangan yang tersekat.
Agensi itu berkata, persaingan daripada pengeluar di China kekal sengit dan akan terus mempengaruhi jumlah jualan dan margin industri.
Namun begitu, MARC Ratings menjangkakan Top Glove akan mendapat manfaat daripada inisiatif pengurusan kosnya yang merangkumi penyahtauliahan barisan pengeluaran lama, penutupan kilang sementara dan penyelarasan tenaga kerja.
“Jumlah jualan diramalkan akan didorong oleh aktiviti penyimpanan semula yang berterusan apabila inventori pelanggan menjadi normal.
“Agensi penarafan berpendapat bahawa harga gas asli yang rendah akan menyokong pemulihan margin,” ulasnya dalam satu kenyataan.
Menurut MARC Ratings, terdapat sedikit peningkatan dalam keuntungan pengeluar-pengeluar sarung tangan getah Malaysia berikutan rasionalisasi kapasiti dan kos tenaga yang lebih rendah, walaupun ini kekal jauh di bawah paras pra-pandemik pada tahun kewangan 2019 (FY19).
Bagi suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24) yang berakhir pada 30 November 2023, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) Top Glove bertukar positif mencecah RM21.3 juta, berbanding kerugian RM61.6 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya .
Bagaimanapun, margin EBITDA kumpulan itu kekal rendah pada 4.3% berbanding 14% yang dicatatkan dalam FY19, yang meninggalkan sedikit penampan terhadap potensi turun naik dalam kos bahan mentah dan tenaga.
Mengenai kedudukan mudah tunai Top Glove yang sihat, MARC Ratings berkata nisbah leveragenya kekal rendah dengan nisbah hutang kepada ekuiti (DE) terselaras sebanyak 0.33 kali dan nisbah DE bersih sebanyak 0.12 kali.
Ia menambah bahawa kumpulan itu mempunyai sukuk kekal berjumlah RM1.18 bilion, yang mana tarikh panggilan pertamanya adalah pada 27 Februari 2025 dan berkemungkinan akan dibiayai semula. - DagangNews.com

