Margin VS Industry masih terjejas akibat kos elektrik naik, kadar penggunaan kemudahan i-Park rendah – HLIB

Business & Finance
20 Jun 2023 • 1:04 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Margin VS Industry masih terjejas akibat kos elektrik naik, kadar penggunaan kemudahan i-Park rendah – HLIB

diyana

20/06/2023 - 13:04

KUALA LUMPUR 20 Jun - Margin VS Industry Berhad masih berdepan cabaran akibat peningkatan kos elektrik dan kadar penggunaan kemudahan i-Park yang rendah, walaupun jualan dijangka meningkat, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).

HLIB berkata prospek tempahan secara keseluruhan masih berhati-hati namun pihak pengurusan kumpulan itu menjangkakan permintaan meningkat didorong oleh persediaan penghantaran pada musim cuti dan perayaan menjelang akhir tahun ini.

Tambahnya, ini juga akan dirangsang oleh pelancaran produk baharu oleh pemilik jenama setelah mengambil langkah berhati-hati dan secara positif, VS Industry berada di peringkat awal dengan salah seorang bakal pelanggan baharunya dengan sumbangan akan bermula seawal suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Julai 2023 (2QFY24).

Walaupun ramalan jualan pesanan kecil awal, firma itu berkata sumbangan pelanggan baharu kepada margin sepatutnya berada pada julat yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan pelanggan sedia ada.

“Kami mengurangkan unjuran bagi FY23, FY24 dan FY25 masing-masing sebanyak 18%, 13% dan 6% bagi mengambil kira margin yang lebih perlahan,” katanya dalam nota hari ini.

Oleh itu, firma itu mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) dikurangkan kepada 84 sen sesaham daripada 88 sebelumnya.

Menurut HLIB, prospek tempahan masih merangkak dengan penurunan permintaan daripada salah satu produk jenamanya, bagaimanapun, ia disokong oleh tempahan kukuh daripada segmen penjagaan kecantikan.

“Untuk memperoleh margin yang lebih baik, VS Industry sedang berusaha untuk menambah baik rantaian nilai Pelanggan X dengan mewujudkan integrasi menegak lebih baik dengan pengeluaran produk penjagaan rambut secara dalaman yang turut menyumbang kepada peningkatan penggunaan kilang,” jelasnya.

Di sebalik permintaan perlahan daripada pelanggan Amerika Syarikat pembuat kopi dan pembersihan kolam disebabkan kebimbangan kemelesetan, HLIB berkata kumpulan itu menjangkakan mendapat manfaat daripada pelancaran produk baharu menjelang musim perayaan yang akan dapat meningkatkan momentum pesanan jualan.

“Bagi Pelanggan Y, pihak pengurusan berkongsi bahawa terdapat tanda-tanda peningkatan secara beransur-ansur dalam pesanan walaupun pada kadar yang lebih perlahan.

“Walaupun jualan dijangka meningkat, kami berpendapat bahawa margin masih mencabar, terutamanya daripada peningkatan kos elektrik ditambah dengan Pelanggan Y kurang menggunakan kemudahan i-Park,” tambahnya.

Pada waktu rehat, saham VS Industry kekal pada 83.5 sen dengan modal pasaran bernilai RM3.2 bilion. -DagangNews.com