
KUALA PENYU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas 300 karton minuman keras tidak bercukai yang cuba diseludup masuk ke negeri ini menggunakan sebuah bot kayu di perairan Menumbok di sini, Khamis lalu.
Pengarah Maritim Malaysia Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata pihaknya percaya minuman keras itu cuba diseludup dari Wilayah Persekutuan Labuan.
Katanya berdasarkan maklumat risikan Maritim Malaysia, bot berkenaan dikesan bergerak laju sehingga ke tebing Sungai Sarap, Menumbuk pada pukul 3.30 pagi dan mendapati suspek sedang menjalankan pemunggahan barang ke lori kargo.
“Ketika serbuan dibuat, semua suspek di lokasi pemunggahan melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran dan meninggalkan bot, lori kargo serta muatan yang dipunggah. Namun, usaha menjejaki suspek gagal berikutan keadaan gelap dan kawasan berpaya.
“Nilai rampasan termasuk bot bersama dengan enjin, lori kargo termasuk muatan dianggarkan lebih RM350,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967, dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana membawa barang-barang tidak bercukai menggunakan bot tidak berdaftar.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan Pengarah Zon Maritim Kudat Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata tiga warga asing ditahan dalam satu operasi bersepadu pada 26 dan 28 Feb lepas yang dijalankan di sekitar perairan Pitas.
“Ketika pemeriksaan dilakukan, seorang warganegara Indonesia dan dua warga Filipina gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan kesemuanya ditahan. Tiga bot ronda Maritim Malaysia dengan kekuatan 30 anggota dari semua agensi terlibat diatur gerak,” katanya.
Beliau berkata operasi bersepadu itu dijalankan Maritim Malaysia Zon Maritim Kudat melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia (AADK) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), serta Pejabat Kesihatan Kudat.
Katanya sebanyak 15 buah bagang, sejenis platform tradisional menangkap ikan di laut antaranya ikan bilis, dan sembilan bot telah diperiksa di kawasan sekitar perairan Pitas dalam operasi bersepadu tersebut. - Bernama

