Maritim Malaysia perketat kawalan perairan musim perayaan

LocalPolitics
13 Mar 2026 • 2:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Asri (kiri) mengetuai KM Bagan Datuk dalam melaksanakan tugas menjaga perairan negara biarpun pada musim perayaan.
image is not available
Anggota Maritim Malaysia melaksanakan pemeriksaan menerusi Op Khas Pagar Laut.
image is not available
Petugas KM Bagan Datuk berbuka puasa bersama ibarat sebuah keluarga biarpun mendepani tugas sebagai pasukan penguat kuasa.

KLANG - Jenayah penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI), mercun dan bunga api serta barangan kawalan di perairan negara menjadi antara fokus utama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sepanjang musim perayaan menerusi pelaksanaan Op Khas Pagar Laut.

Pegawai Pemerintah Kapal Maritim (KM) Bagan Datuk, Leftenan Komander Maritim Mohd Asri Zahari berkata, tugas mengawal keselamatan perairan ketika musim perayaan memberi cabaran tersendiri kepada pasukan terutama dari aspek keselamatan anggota dan pemantauan kawasan perairan.

Menurutnya, kegiatan penyeludupan keluar dan masuk PATI dijangka berlaku pada musim perayaan.

"Bukan sahaja PATI, tapi barang kawalan seperti minyak masak, gula dan tepung.

"Modus operandi kebanyakan penyeludupan PATI ialah menyasarkan kawasan strategik yang mudah bagi sindiket bergerak masuk dan keluar.

"Di sini kawalan hotspot sangat penting dalam usaha membanteras kegiatan jenayah di perairan negara," katanya kepada Sinar Harian semasa operasi pemeriksaan di perairan Selangor di sini baru-baru ini.

**media[3462466]**

Sinar Harian yang menyertai tugasan rondaan itu berpeluang melihat lebih dekat tugas dilaksanakan Maritim Malaysia termasuk pemeriksaan bot dan pemantauan kapal-kapal.

Tugas itu dilaksanakan tanpa mengira waktu biarpun pada bulan Ramadan.

Berkongsi pengalaman beraya di atas kapal sebagai pegawai kanan Maritim Malaysia, Mohd Asri berkata, beliau sudah terbiasa dengan situasi itu selepas kira-kira 13 tahun berkhidmat dalam pasukan.

"Kita reda bekerja di hari raya dan ini sudah jadi kebiasaan.

"Pengubat rindu di pagi raya ialah keluarga terdekat, ibu bapa, isteri dan anak. Kalau ada talian telefon saya akan hubungi mereka atau 'video call'," ujarnya.

**media[3462461]**

Beliau turut menjelaskan bahawa moral anggota juga sentiasa dijaga sepanjang pelayaran memandangkan mereka bertugas dalam situasi mencabar.

"Menu pagi raya kita akan pilih juadah wajib seperti lemang, nasi minyak, rendang dan ketupat. Kita akan usaha pelbagaikan menu demi mengubat rindu," katanya.