Maritim Malaysia tahan 15 PATI, rampas pistol, peluru hidup

LocalPolitics
5 May 2026 • 10:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Maritim Malaysia tahan 15 PATI, rampas pistol, peluru hidup
Maritim Malaysia berjaya menggagalkan cubaan masuk 15 migran warga Indonesia di perairan Port Dickson awal pagi Selasa. Foto ihsan Maritim Malaysia
Image from: Maritim Malaysia tahan 15 PATI, rampas pistol, peluru hidup
Maritim Malaysia berjaya memintas sebuah bot pancung yang mencurigakan kira-kira 0.5 batu nautika barat daya Pantai Cahaya Negeri. Foto ihsan Maritim Malaysia

PORT DICKSON - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan berjaya menggagalkan cubaan masuk 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia, termasuk seorang tekong di perairan Port Dickson awal pagi Selasa.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, tangkapan tersebut dilakukan hasil maklumat risikan mengenai aktiviti penyeludupan migran melalui laluan yang tidak diwartakan.

"Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 pagi itu, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan rutin telah berjaya memintas sebuah bot pancung yang mencurigakan tanpa nombor pendaftaran kira-kira 0.5 batu nautika barat daya Pantai Cahaya Negeri.

"Hasil pemeriksaan mendapati, seramai lapan lelaki dan tujuh wanita berusia antara 20 hingga 46 tahun berada di atas bot berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

**media[3511778]**

Beliau berkata, kesemua mereka ditahan selepas gagal mempamerkan sebarang dokumen perjalanan diri yang sah bagi memasuki negara ini.

Katanya, selain tangkapan individu, pemeriksaan rapi ke atas bot tersebut turut menemukan sepucuk pistol jenama Colt yang telah dileraikan bersama lima butir peluru hidup.

"Kesemua rampasan dan individu yang ditahan telah dibawa ke jeti Ibu Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.

"Kes kini disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Senjata Api 1971," katanya.